Tidak banyak slot tayangan seperti permintaan ramai, filem Anwar: The Untold Story didakwa disabotaj pihak pawagam

Tidak banyak slot tayangan seperti permintaan ramai, filem Anwar: The Untold Story didakwa disabotaj pihak pawagam

 

Baru sahaja empat hari ditayang, timbul dakwaan dari produksi filem Anwar: The Untold Story bahawa naskhah berkenaan perjuangan jatuh bangun Perdana Menteri itu disabotaj sesetengah pawagam.

Walaupun mencipta sejarah menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran apabila filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation seperti tidak mendapat slot tayangan seperti permintaan ramai.

Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusof mendakwa, sesetengah pawagam enggan bekerjasama dengan memberi lebih slot tayangan untuk filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu.

“Saya kesal filem Anwar: The Untold Story seolah-olah disabotaj oleh pihak pawagam.

“Lebih mengecewakan ada pawagam menyediakan 40 slot tayangan untuk filem antarabangsa, namun hanya memberikan empat slot untuk naskhah yang mengangkat kisah perjuangan dan pengorbanan Perdana Menteri menentang amalan rasuah ini

“Ia adalah tindakan tidak adil, sedangkan filem Anwar: The Untold Story sedang mendapat perhatian ramai, apatah lagi, ia mengenai kisah Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Tambah Mohamed Yusoff, pasukan produksi membuat tinjauan setiap hari untuk mengetahui respon penonton.

“Ramai penonton membuat aduan tidak dapat menonton di beberapa pawagam berikutan tiada slot tayangan.

“Jadi, kami bertindak membuat aduan kepada pihak pawagam, namun keadaan masih sama pada hari ketiga tayangan, semalam.

“Justeru, kami tidak boleh mendiamkan diri dan memilih untuk bersuara,” katanya.

Katanya, tindakan pawagam tidak memberikan sokongan terhadap filem tempatan memberi impak buruk terhadap pembangunan industri perfileman.

“Ini juga satu tindakan tidak adil buat pembikin karya tempatan.

“Kami menghasilkan karya dengan bajet tinggi, namun bagaimana industri perfileman tempatan mampu bergerak ke hadapan sekiranya pihak pawagam bertindak mensabotaj karya tempatan.

“Industri perfileman tempatan tidak akan mampu berdaya saing dengan tindakan tidak bertanggungjawab sebegini,” katanya.

Mohamed Yusoff berkata, pihak berkenaan juga perlu tahu penting membezakan politik dan hiburan.

“Kalau kita sendiri enggan memberikan sokongan terhadap karya tempatan, siapa lagi boleh membantu?

“Timbul juga persoalan apa yang menjadi penghalang pihak pawagam menyediakan lebih banyak slot tayangan dan siapa perlu bertanggungjawab?

“Saya berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat memantau isu ini agar karya tempatan dan antarabangsa diberikan layanan sama rata,” ujarnya.