“Tidak berlaku penjualan yang tidak sepatutnya, hanya yang ada ID dan disahkan layak boleh dapat minyak masak paket bersubsidi” – Fuziah Salleh

“Tidak berlaku penjualan yang tidak sepatutnya, hanya yang ada ID dan disahkan layak boleh dapat minyak masak paket bersubsidi” – Fuziah Salleh

 

Tidak lama lagi, kerajaan akan menetapkan bahawa hanya mereka yang mempunyai kad pengenalan khas dan disahkan layak sahaja boleh membeli minyak masak paket bersubsidi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, langkah ini perlu bagi membolehkan barangan bersubsidi hanya dibeli oleh golongan sasaran. Berbanding dengan sistem pasaran terbuka pada ketika ini, golongan yang berada juga boleh membeli barangan bersubsidi.

“Kita mahu sasarkan kepada (golongan) yang memerlukan supaya tidak berlaku penjualan kepada yang tidak sepatutnya.

“Siapa yang layak terima subsidi bersasar? Golongan B40, M40 lower half dan peniaga mikro (selama ini tidak termasuk di dalam cara sedia ada).

“Ketika ini kerajaan keluarkan 60 juta paket minyak masak bersubsidi setiap bulan. Akan tetapi aduan diterima ialah ianya tidak boleh didapati di pasaran. Ianya selalu habis.

“Maka dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID dan disahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak paket bersubsidi ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya petang semalam.

Ada yang bertanya mengapa tidak memanfaatkan aplikasi MySejahtera yang sudah sedia ada. Fuziah menjelaskan, keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro.

“…kita hadkan pembelian kepada 3 atau 5 kilogram. Peniaga akan bermasalah. Lagi satu, golongan T20 tidak layak terima subsidi minyak masak paket. Maka perlu kepada ID yang berbeza,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fuziah turut memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan menggunakan MyKad. Namun buat masa ini, Fuziah meminta rakyat bertenang sementara menunggu pihaknya menetapkan mekanisme yang terbaik untuk menangani isu tersebut.