Tidak perlu darurat, kerajaan cukup kuasa tangani masalah Covid-19, kata Tun M

Tidak perlu darurat, kerajaan cukup kuasa tangani masalah Covid-19, kata Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Malaysia tidak perlu diletakkan di bawah darurat buat masa ini kerana kerajaan mempunyai kuasa mencukupi untuk membendung Covid-19.

Katanya,kerajaan boleh menangani penularan Covid-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, justeru proklamasi Darurat tidak diperlukan.

“Sebenarnya, di waktu ini, tanpa darurat kerajaan cukup kuasa untuk menangani masalah Covid-19.

“Tidak ada kekurangan kuasa, (kerajaan) kuasa cukup kerana di Malaysia, rakyat kita patuh kepada kerajaan. Tidak seperti di Eropah, Amerika Syarikat yang mana rakyat bantah kalau ada sekatan apa-apa. Kalau ada ‘lockdown’ mereka bantah.

“Tetapi di Malaysia suruh ‘lockdown’, kita ‘lockdown’. Suruh jangan bergerak, kita tidak bergerak, duduk di rumah, kita duduk di rumah, adalah dua tiga orang yang bantah tetapi tindakan boleh diambil terhadap mereka,”katanya.

Dr Mahathir menuntut kerajaan perlu menjelaskan keperluan proklamasi darurat dilaksanakan ketika ini,

“Kita tidak tahu setakat mana darurat ini mengikat kita daripada bergerak
sebenarnya di waktu ini,”katanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan supaya pengisytiharan proklamasi darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Menerusi kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsudin, Agong memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos depan atau sehingga tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan proklamasi darurat yang diisytiharkan Agong bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, dan perintah berkurung tidak akan dilaksanakan.

Muhyiddin berkata, sepanjang tempoh ini pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri akan terus berfungsi seperti biasa.

Muhyiddin turut memaklumkan, sepanjang tempoh darurat ini dilaksanakan, persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan dilaksanakan termasuk pilihan raya umum, pilihan raya kecil, dan pilihan raya negeri tidak akan dilaksanakan.

Muhyiddin turut memberi jaminan operasi perniagaan masih berjalan, walaupun proklamasi darurat sudah diisytiharkan.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/12/kerajaan-cukup-kuasa-kekang-covid-19-darurat-tidak-perlu-kata-dr-m/