Tidak sampai 24 jam angkat sumpah, Ismail Sabri kembali ke perangai lama melanggar SOP

Ismail Sabri hari ini selesai mengangkat sumpah selepas dinobatkan sebagai PM ke-9 semalam. Istiadat mengangkat sumpah di hadapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertempat di Istana Negara pada pukul 2.28 petang tadi.
Dia telah menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Sebagai menghargai sokongan Muhyiddin, yang telah memberikan ‘restu’ terhadap pelantikannya, Ismail Sabri dilaporkan telah menziarahi mantan PM ke-8 itu dikediamannya usai majlis mengangkat sumpah. Kisah itu dikongsikan Muhyiddin di dalam laman FB rasminya petang tadi.
Namun, apa yang dikesalkan wargamaya apabila Ismail Sabri secara terang-terangan telah menunjukkan contoh yang salah selepas menjadi PM apabila secara sengaja telah melanggari SOP PPN yang melarang aktiviti kunjung mengunjung dilakukan selama mana tidak diizinkan oleh MKN.
Umum mengetahui selama ini Ismail Sabri merupakan ketua kluster keselamatan MKN yang menguruskan SOP berkaitan pergerakan rakyat sepanjang Covid-19 melanda negara kita, tetapi dia sendiri bertindak mengabaikannya secar terang-terangan selepas menjawat jawatan utama pentadbiran negara.
Meninjau ruangan komen hantaran yang dilakukan Muhyiddin dalam laman FB nya, wargamaya mulai membangkitkan persoalan sama ada SOP sebelum ini sudah tidak terpakai lagi. Malah ada yang seakan geram dengan pelanggaran tersebut memandangkan mereka yang sudah lama terpisah dengan ibu bapa dan ahli keluarga terus dilarang berbuat demikian.
Sewaktu menjadi TPM juga. Ismail Sabri turut dilaporkan kerap melanggar SOP termasuk mengadakan mesyuarat bersemuka dengan MP Umno pro Muhyiddin di Wisma Perwira bagi membincangkan langkah menyelamatkan kerajaan PN yang diancam kejatuhan ketika itu.
Wargamaya berpendapat sewajarnya Ismail Sabri mengambil kesempatan di atas kejayaannya merampas kerusi PM dari Muhyiddin secara halus itu berusaha mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 ketika ini dengan segera, bukan bersikap sebaliknya.