Tidak serik disaman, pemuda Pas lancar fitnah terbaru terhadap Dap

Tidak serik disaman, pemuda Pas lancar fitnah terbaru terhadap Dap

DAP dianggap tidak pernah menghormati Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan memberi hak umat Islam di negara ini mengamalkan ajaran Islam.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Ustaz Najhan Abdul Halim berkata, apa sahaja usaha memperkukuhkan undang-undang Islam akan berhadapan dengan tentangan kuat daripada DAP atas alasan bercanggah Perlembagaan.

“Jadi apakah rujukan perlembagaan berpilih oleh DAP boleh dipercayai lagi. Kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengaitkan murtad dengan lompat parti sangat janggal.

“Mengaitkan kedua-duanya itu bermakna DAP cuba memberitahu bahawa urusan politik berkait dengan aqidah.

“Sedangkan selama ini proksi parti itu daripada PAN menegaskan bahawa politik tiada kaitan dengan aqidah. Jadi PAN wajib memperbetulkan DAP berdasar kenyataan Guan Eng tersebut,” katanya di sini.

Baru-baru ini, Guan Eng mempertikaikan kenyataan Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang Dato’ Seri Takiyuddin Hassan yang menyifatkan lompat parti tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Guan Eng isu wakil rakyat lompat parti akan dibawa ke mahkamah walaupun ia tidak termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.

Najhan juga berkata, ketika wakil rakyat parti lain menyertai PH pemimpin DAP menganggap mereka sebagai berhijrah dan tindakan yang demokratik.

“Tetapi apabila wakil rakyat PH menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) mereka mula berkokok bising.

“Sejarah tidak pernah lupa bagaimana PH menerima beberapa Adun dan Ahli Parlimen yang menukar sokongan kepada PH selepas mereka memenangi PRU14,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menyifatkan Guan Eng seorang pemimpin hipokrit umpama ayam berkokok di sana sini riuh sekampung, sedangkan ekor berlumur najis. – HD