Tidak yakin terhadap kepimpinan Mukhriz, Khairuddin Hassan umum letak jawatan Ketua Pejuang WP

Tidak yakin terhadap kepimpinan Mukhriz, Khairuddin Hassan umum letak jawatan Ketua Pejuang WP

Khairuddin Abu Hassan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua Pejuang Wilayah Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, keputusannya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak, sebaliknya dibuat susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Pejuang.

Katanya, perjuangannya selama ini semata-mata berteraskan paksi sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad “yang sentiasa kekal berprinsip dan tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama”.

“Apabila peletakan jawatan (Mahathir) diterima oleh Biro Politik Pejuang, maka kini perkhidmatan saya dalam Pejuang sudah tidak relevan lagi,” kata Khairuddin dalam kenyataan, seperti dilapor portal FMT.

Pada masa sama, Khairuddin berkata, beliau meletak jawatan kerana telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir.

Sabtu lepas, Pejuang memaklumkan bahawa pihaknya menerima keputusan Mahathir untuk meletak jawatan sebagai pengerusi, namun bekas perdana menteri itu kekal sebagai ahli.

Mukhriz berkata, Mahathir akan terus memberi pandangan membina dan kritis terhadap masa depan Malaysia sebagai seorang negarawan.