Tiga beradik dipercayai jadi mangsa dera, dijumpai berkeliaran dengan kaki dirantai

Tiga beradik dipercayai jadi mangsa dera, dijumpai berkeliaran dengan kaki dirantai

Orang awam menyelamatkan tiga orang remaja lelaki berkeliaran dalam keadaan tidak bermaya di Simpang Empat, Kangar, yang dipercayai telah menjadi mangsa dera.

Dipercayai mangsa adalah adik beradik

Menurut penjelasan Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, mereka dipercayai adalah adik beradik yang berusia antara 14 hingga 16 tahun dan dua orang daripada mangsa adalah Orang Kurang Upaya (OKU).

Hasil siasatan awal mendapati dua remaja itu dirantai bersama di bahagian kaki, manakala seorang remaja tidak dirantai dan mereka dijumpai oleh orang awam yang melalui Jalan Kampung Tambun Tulang menghala Ke Utan Aji di Simpang Empat.

Pihak polis juga berkata mangsa didakwa telah dikurung dan dirantai di dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama mereka dan akibat tidak tahan diperlakukan begitu mereka melarikan diri.

Dalam pada itu, keterangan daripada ibu mangsa mendapati bahawa dia bertindak merantai mereka kerana sikap anak-anaknya yang sukar dikawal. Manakala mangsa pula enggan bercakap ketika disoal, walau bagaimanapun mereka telah dihantar ke Hospital Tuanku, Fauziah, Kangar bagi pemeriksaan lanjut.

Susulan itu kita menahan dua suspek iaitu ibu mangsa berusia 46 tahun dan seorang lelaki yang belum diketahui pertaliannya berusia 31 tahun untuk membantu siasatan.

Kedua-dua direman selama tujuh hari bermula hari ni sehingga 31 Mac hadapan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001

Setelah rawatan terhadap mangsa selesai mereka kemudian diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis.