Tindakan calon wakil rakyat pembangkang ini dikecam gara-gara cetak nama atas sejadah untuk diberi kepada pengundi dalam kempen pilihanraya
Tindakan seorang wakil rakyat yang mencetak nama di atas sejadah dan memberinya sebagai cenderahati semasa berkempen dalam pilihan raya disifatkan sebagai berlebihan dan tidak bertanggungjawab oleh penduduk di Indonesia.
Dalam satu video yang dimuat naik oleh @msetiawanutomo di TikTok, ia memaparkan nama calon tersebut berada di atas sejadah dan paling mengejutkan ia dicetak di bahagian sujud.
Lelaki tersebut berkongsi gambar sejadah beserta nama calon yang ditutup dengan tangannya dan tulisan bersulam itu bertulis ‘Calon anggota DPRD Wilayah Kal-Sel’.
Individu tersebut berasa kesal dengan tindakan calon itu dan mengatakan kempen itu tidak kena pada tempatnya.
“Ini satu contoh menunjukkan kita hendak berkempen tetapi tidak kena pada tempat yang sepatutnya.
“Jadi ini adalah sejadah, iaitu tempat kita sujud dan contohnya kalau kita solat, mata kita mesti pandang ke sini (tulisan)..
@msetiawanutomo Gimana pendapat kalian kalau ketemu sajadah kaya ginii #sajadah #kampanye
Dalam pada itu, lelaki tersebut menzahirkan kerisauan sekiranya akan tersasul membaca surah dan menyebut nama calon tersebut ketika mendirikan solat.
Perkara itu akan mengganggu seseorang untuk terus khusyuk dalam ibadahnya kerana tulisan tersebut tidak kena dengan tempatnya.
Demi menjaga nama dan parti calon tersebut, lelaki itu bertindak untuk menutup tulisan bersulam itu menggunakan tangannya.
“Saya tutup nama parti dan calon.
“Jadi saya mohon kepada calon untuk menjadi lebih selektif dalam memilih barangan untuk dijadikan sebagai kempen,” ujarnya.
Sementara itu, dia turut mengatakan tindakan calon itu adalah luar biasa di mana ia tidak pernah dibuat oleh orang.
“Ini masya-Allah luar biasa.
“Semoga calon dewan menjadi lebih prihatin dalam menghasilkan cenderahati semasa berkempen atau memberi barangan kepada rakyat.
“Menurut saya, ia bukannya tidak bagus tetapi tidak sesuai,” jelasnya.
Rata-rata warga maya yang melihat video itu turut merasa hampa dengan tindakan calon itu dan meluahkan rasa kecewa di ruangan komen.
Menjengah di bahagian komentar, netizen Indonesia dilihat tidak mempercayai dengan tindakan calon tersebut dan berharap parti tersebut menggunakan cara yang lebih telus ketika berkempen.
“Kenapa abang tutup nama dia, biar semua orang tahu,” katanya.
“Sepatutnya letak di bahagian belakang dan bukannya di tempat bersujud,” ujar warga maya lagi.
“Sulam di bahagian bawah juga okay,” tambah netizen lagi.