Tindakan Lembaga Muzium Negri Perak pelihara kubur J.W.W Birch jadi pertikaian

Tindakan Lembaga Muzium Negri Perak pelihara kubur J.W.W Birch jadi pertikaian

MEMBERSIHKAN KUBUR J.W.W BIRCH

Saya terkejut melihat beberapa keping gambar yang dimuat naik oleh laman web Facebook Lembaga Muzium Negeri Perak. Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya siapa si bijaksana yang telah memberi buah fikir untuk menjayakan Program Inisiatif Gotong-Royong Membersih Kubur J.W.W. Birch.

Ini adalah perbuatan yang amat memalukan dan tidak patut sama sekali dilakukan oleh orang Melayu khususnya umat Islam. Rata-rata kita semua mengenali siapa pemilik nama J.W.W Birch ini.

Dia adalah Residen British pertama di negeri Perak yang telah dibenam dan dirodok dalam peristiwa berdarah di Pasir Salak pada tahun 1875, di mana angkatan pejuang Melayu yakni Dato Maharaja Lela, Dato Sagor dan Pandak Indut akhirnya telah dihukum mati akibat merancang pembunuhan pegawai British tersebut. Apakah puncanya mereka ini dihukum mati? Birch dan British. Birch adalah punca kepada kekacauan di negeri Perak pada waktu itu. Dia pejuang atau penjajah?

Sewaktu saya melihat gambar ini perkara pertama di dalam minda adalah bagaimana agaknya perasaan keluarga para pejuang Melayu ini jika mendapat tahu orang Melayu bergotong royong membersihkan kubur Birch? Tidak masuk akal. Adakah ini yang mahu dilihat oleh Dato Maharaja Lela dan angkatannya yang telah bermandi darah di tanah air sendiri akibat kejahatan orang Putih?

Sudah terang dan nyata bahawa dia adalah penjajah di Tanah Melayu, dibunuh pula oleh pahlawan Melayu kerana sikap angkuhnya yang suka mencampuri urusan Sultan, malah peristiwa pembunuhan itu juga menyebabkan Sultan Perak ketika itu yakni Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar yang lain dihukum dan dibuang negeri. Birch adalah punca kepada keretakan sistem dan kepincangan yang berlaku di bumi Perak ketika itu dan apa yang telah kita lakukan hari ini?

Turun beramai-ramai membersihkan kubur Birch atas alasan tidak mahu orang Melayu lupa akan kejahatan Birch. Bukan ini caranya, ini salah. Ini tidak patut berlaku, walaupun atas alasan tanggungjawab Lembaga Muzium Negeri Perak untuk memulihara dan memelihara semua peninggalan sejarah.

Ini bukan sejarah yang perlu didendang dan diangkat sehingga perlu membersihkan kubur penjajah nenek moyang sendiri. Yang perlu dipulihara dan dipelihara adalah makam pahlawan Melayu tersebut bukan kubur penjajah!

Saya juga ingin menukilkan akan sifat Birch seperti apa yang ditulis oleh Frank Swettenham, antara pegawai British yang ketika itu banyak menulis perihal di Tanah Melayu.

Swettenham mengkritik Birch kerana lambat belajar dan tidak langsung menghormati orang-orang Melayu. Birch bukan sahaja tidak menghormati adat Melayu, tetapi juga tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Kata Swettenham;

“Malang bagi Tuan Birch, walaupun dikatakan berpengalaman luas di dunia timur namun tidak mengenali orang Melayu dan boleh dikatakan tidak tahu langsung bahasa orang Melayu. Walaupun dia sentiasa membawa bersamanya jurubahasa Melayu yang pandai, disebabkan tidak boleh bercakap dengan secara langsung dengan orang Melayu.”

“Maklumlah dia orang putih, dia juga beragama Kristian lagipun orang luar, dia sentiasa berjalan ke sana ke mari, mendaki bukit dan menjelajah negeri, dia campur tangan dengan pekerjaan pembunuh-pembunuh dan orang-orang lain yang jahat, dia sentiasa menggangu Sultan tentang urusan kerja dan mendesaknya memperkenalkan pembaharuan, sedangkan setiap pembaharuan dianggap orang Melayu dengan syak dan wasangka.”

Tidak cukup lagi, apakah orang Melayu kita sudah tidak waras, sudahlah beragama Islam, sanggup pula membersihkan kubur penjajah bertanda salib sebesar alam?

Adakah ini dibolehkan atas dasar memulihara peninggalan sejarah maka kita dibenarkan membersihkan kubur orang kafir? Tambahan pula atas dasar ‘inisiatif’. Inisiatif siapa yang terlalu pintar ini?

Aduhai, sudah tenat bangsa Melayu hari ini, jangan pula ditambah dengan hal yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kita. Tidak cukupkah penjajah itu menjajah kita sehinggakan setelah dia mati, kita masih ada hati membersihkan kubur mereka?

Jika betul ingin membuat amal turunlah dahulu ke kubur umat Islam yang lain, para Wali, para pejuang agama dan bangsa di seluruh tanah Melayu ini atau di negeri Perak khususnya membersihkan lalang yang meninggi. Janganlah pula menjadi lalang yang tiada pendirian sehinggakan kubur penjajah pula dibersihkan, khuatir lalang menjadi petualang.

Noktah.

Sumber – Hambali Idrus