Tindakan Saravanan tangguh kemasukan pekerja asing untuk dua minggu lagi bukti cubaan sabotaj ekonomi negara

Tindakan Saravanan tangguh kemasukan pekerja asing untuk dua minggu lagi bukti cubaan sabotaj ekonomi negara

Pengerusi DAP Lim Guan Eng membidas keputusan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menghentikan sementara permohonan pengambilan pekerja asing selama dua minggu lagi mulai esok hingga 31 Ogos.

Penggantungan dua minggu sebelum ini adalah dari 1 Jun hingga 15 Jun.

Lim berkata, keputusan itu tidak masuk akal memandangkan pembekuan sementara kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia ditarik balik baru-baru ini.

“Lebih baik Menteri Sumber Manusia S Saravanan menggantung tugas dirinya dan pegawainya selama dua minggu daripada mengenakan kesusahan yang tidak perlu kepada perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 13 Julai, Duta Besar Indonesia Hermono berkata, Jakarta telah mengenakan pembekuan sementara ke atas kemasukan semua pekerja Indonesia ke Malaysia berikutan pertikaian mengenai sistem yang digunakan untuk mengambil pembantu rumah Indonesia.

Bagaimanapun kemudiannya, Saravanan berkata, Indonesia bersetuju untuk menarik balik pembekuan sementara itu, yang sebelum ini dikatakannya hanya “penangguhan sementara”.

“Hampir dua minggu selepas situasi pekerja Indonesia dinormalkan pada 1 Ogos, pengambilan semua pekerja asing kini digantung tanpa sebab selama 2 minggu bermula 15 Ogos,” kata Lim.

“Ini akan menghalang usaha semua industri untuk mengatasi kekurangan 1.2 juta pekerja dan kerugian diakibatkannya sebanyak RM33.5 bilion kepada sektor perladangan, industri sarung tangan getah dan alat ganti kereta.”

Awal bulan ini, KSM mengumumkan bahawa permohonan pekerja asing akan digantung bagi menyemak semula proses permohonan.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) kemudiannya menggesa proses permohonan semasa dikekalkan kerana sebarang penggantungan akan menjejaskan pemulihan ekonomi dan industri yang memerlukan pekerja.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) turut berkata, kira-kira 1,500 restoran India-Muslim, atau restoran mamak, dijangka ditutup di seluruh negara kerana kekurangan pekerja.

Lim berkata, tiada sebab untuk proses permohonan semasa digantung kerana masih terdapat keperluan serius untuk mengatasi kekurangan buruh yang teruk.

“Saravanan perlu buka mata dan menjalankan tugasnya dengan membenarkan permohonan pengambilan pekerja asing diteruskan,” katanya.

“Beliau harus menumpukan perhatian untuk mengurangkan kerenah birokrasi di sebalik banyak permohonan yang menunggu untuk pemprosesan dan kelulusan.”