Tindakan tak matang Fizi Ali buat Suria FM kerugian RM50 ribu

Tindakan tak matang Fizi Ali buat Suria FM kerugian RM50 ribu

Pengurus Besar juga penyampai radio popular Suria FM, DJ Lin mengakui terkilan dengan tindakan bekas penyampainya, Fizi Ali berhubung keputusan penghijrahan ke stesen radio lain yang dibuat pada saat akhir.

Memetik laporan Kosmo, DJ Lin berkata dia hanya diberitahu tentang penghijrahan Fizi ke Hot FM beberapa hari sebelum dia menamatkan kontrak pada 22 Julai lalu.

“Saya hanya dimaklumkan yang Fizi bakal berhijrah ke stesen radio lain hanya beberapa hari sebelum tarikh kontraknya tamat.

“Jujur selaku ketua dan rakan sekerja, saya memang amat terkilan dengan tindakannya. Bayangkan kami terpaksa merombak semula kerja-kerja bagi promosi Jelajah 90 Suria yang bakal diadakan bermula 6 Ogos ini.

“Video promo pun kami terpaksa reshoot (penggambaran semula) disebabkan tindakannya yang memberitahu kami saat-saat akhir. Itu belum dikira dengan kos nak tukar wallpaper (hiasan latar) pada bas yang sudah lama siap.

“Kalau nak dikira, banyak yang kami terpaksa laburkan disebabkan tindakan last minute (saat akhir) dia. Lebih RM50,000.

Tapi saya tak kisah sebab itu, cuma saya kasihankan staf lain kerana terpaksa bersusah payah disebabkan perkara yang tak sepatutunya berlaku ini,” katanya.

DJ Lin ditemui pada majlis sidang akhbar Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell bersama beberapa barisan artis yang terlibat di Wisma Kak Ell di sini sebentar tadi.

Pada masa sama, DJ Lin yang popular menerusi segmen Suria Cinta itu memberitahu, pihaknya ada memujuk Fizi untuk kekal bersama mereka setidak-tidaknya selepas habis program Jelajah 90 Suria yang akan diadakan di empat buah negeri di seluruh Malaysia bermula Sabtu ini.

Terdahulu, selepas enam tahun menabur bakti bersama Suria FM, Fizi yang juga bekas suami kepada pelakon Shakilla Khoriri membuat keputusan untuk meninggalkan stesen radio tersebut.

Fizi berkata, dia mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan dan memilih untuk tidak menyambung perkhidmatannya dengan Suria FM.

Teka-teki bahawa dirinya bakal menyertai Hot FM akhirnya terjawab apabila disahkan menjadi ahli keluarga baharu stesen radio tersebut bermula esok bergandingan bersama pelawak Fad Bocey menerusi segmen Sembang Squad.