Tinjauan antarabangsa: Dua pertiga rakyat percaya Malaysia berada di landasan betul di bawah pimpinan Anwar

Tinjauan antarabangsa: Dua pertiga rakyat percaya Malaysia berada di landasan betul di bawah pimpinan Anwar

 

Kajian yang dijalankan oleh firma penyelidikan pasaran antarabangsa Ipsos mendapati dua pertiga rakyat Malaysia yang ditinjau percaya bahawa negara ini bergerak ke arah landasan yang betul, lima bulan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tinjauan terbaharu Ipsos, bertajuk “What worries Malaysia” atau “Apa yang membimbangkan Malaysia” itu mendapati bahawa pandangan umum terhadap negara mula berubah menjadi lebih baik selepas pilihan raya pada November 2022 dan memuncak pada Januari 2023.

“Selepas lima bulan dengan kerajaan baharu, dua pertiga rakyat Malaysia percaya negara berada di landasan yang betul,” kata pengarah urusan Ipsos Malaysia Arun Meron dan pengurus penyelidikan hal ehwal awam Ipsos, Iris Ng dalam satu kenyataan.

Menurut mereka, kajian itu juga mendapati kadar inflasi yang turun daripada kemuncaknya pada Januari 2023 pada 43 peratus, bukan lagi isu utama bagi responden Malaysia, dengan hanya 36 peratus berpandangan demikian.

“Suku pertama 2023 menyaksikan landskap ekonomi menyesuaikan semula kepada realiti pasca Covid dan pasca pilihan raya.

“Kebimbangan terhadap Covid-19 mula menurun manakala rasuah, inflasi dan pengangguran mula menjadi perhatian buat Malaysia,” tambah Arun dan Ng.

Menurut 51 peratus responden, rasuah pula menggantikan inflasi sebagai kebimbangan utama orang ramai – ini meningkat berbanding 43 peratus pada Januari 2023.

35 peratus daripada responden menyenaraikan pengangguran dan pasaran buruh sebagai kebimbangan buat mereka.

Kajian itu juga mendedahkan bahawa rakyat Malaysia lebih senang membuat pembelian pada masa ini; hanya 47 peratus daripada 500 responden berkata mereka berasa selesa membuat pembelian isi rumah, dan 43 peratus mengatakan perkara yang sama tentang pembelian penting.

“Inflasi berterusan menjadi antara kebimbangan utama, sementara ia telah menunjukkan tanda-tanda awal aliran menurun.

“Ditekan oleh inflasi, keyakinan ekonomi dan niat membeli pengguna semakin tergelincir daripada peningkatan sentimen pasca pilihan raya,” kata Arun dan Ng ketika membuat kesimpulan.

Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim berusaha keras dalam menangani isu-isu berhubung kos sara hidup yang semakin memuncak sebaik mereka berkuasa pada November lalu.

Usaha “Payung Rahmah” yang merangkumi inisiatif Menu Rahmah, diperkenalkan pada Januari lalu sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menurunkan kos sara hidup, khususnya buat kategori rakyat berpendapatan rendah.

Penyusunan semula Belanjawan 2023 juga dipuji kerana memberikan tumpuan terhadap menurunkan kos sara hidup golongan B40 dan M40.

Setiap bulan, 500 rakyat Malaysia ditinjau sebagai sebahagian daripada kajian Ipsos, yang dijalankan di 32 negara menggunakan sistem portal dalam talian. Ipsos tidak menggunakan kaedah persampelan berstrata rawak.