Tipu anak Muhyiddin RM400 ribu, SPRM buru ‘Datuk Roy’

Tipu anak Muhyiddin RM400 ribu, SPRM buru ‘Datuk Roy’

 

Seorang lelaki digelar ‘Datuk Roy’ yang dipercayai perancang utama dalam kes rasuah program Jana Wibawa sedang dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memetik Sinar Harian, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu pernah dituduh di mahkamah sebelum ini dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah.

Pada 9 Mac lalu, SPRM telah menahan empat individu berusia 40 hingga 50 tahun termasuk seorang pegawai suruhanjaya itu dan seorang wanita kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400,000 kononnya bagi mengelakkan siasatan kes berkenaan.

Wanita berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala tiga suspek lain telah direman sehingga 13 Mac ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi pada Ahad mengesahkan perkara tersebut.

“SPRM tidak akan berkompromi sama sekali sekiranya didapati mana-mana pegawai SPRM terbabit dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

KENYATAAN MEDIA SPRM

SPRM KESAN MOHD HUSSEIN MOHD NASIR BANTU SIASATAN KES

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes SPRM.

Lelaki tersebut, Mohd Hussein Mohd Nasir, 54, yang juga dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ mempunyai alamat terakhir di No. 3, Lorong 3 RRM Semambu, 25350 Kuantan, Pahang.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohammad Asyraf Mustafa di talian 013-4405210.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

13 MAC 2023

Sementara itu, seorang pengguna media sosial berkongsikan perincian isu melibatkan Datuk Roy di laman FB miliknya.

Individu tersebut, Lim Sian See mendedahkan mangsa penipuan Datuk Roy itu merupakan anak kepada presiden Bersatu. Tan Sri Muhyiddin Yasin yang sedang berdepan 7 pertuduhan membabitkan isu program Jana Wibawa baru-baru ini.