TMJ dinobat hero bolasepak Melaka

TMJ dinobat hero bolasepak Melaka

Selepas campur tangan Tunku Mahkota Johor baru-baru ini, isu tunggakan tiga bulan gaji Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) berakhir apabila sudah dilunaskan hari ini.

Menurut laporan portal MalaysiaGazette, perkara itu dimaklumkan pengurusan kelab dalam satu kenyataan lewat petang ini selepas penstrukturan kewangan dan pentadbiran dilaksanakan oleh pihak pengurusan Melaka United.

“Kelab Bola Sepak Melaka United hari ini telah melunaskan keseluruhan gaji para pemain dan pegawai pasukan Liga Super bagi musim 2021.

“Dengan ini, perancangan pasukan bagi musim 2022 berada di landasan yang tepat,” katanya.

Tambahnya, Melaka United juga kini sedang dalam fasa mempersiapkan pasukan bagi memberikan cabaran yang hebat dalam Liga Malaysia musim ini yang akan bermula dengan saingan Liga Super Malaysia pada 5 Mac 2022.

“Pihak pengurusan Melaka United ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pemilik Kelab Bola Sepak Melaka United, KenTeam Sdn Bhd yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wira Justin Lim kerana telah memikul segala tanggungjawab Kelab Bola Sepak Melaka United sejak 2021.

“Terima kasih di atas doa dan sokongan anda buat Melaka United selama ini dan semoga 2022 bakal menjadi tahun yang lebih berjaya dan gemilang buat Melaka United,” katanya.

Semalam, Presiden Melaka United, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan isu tunggakan gaji akan diputuskan pada Mesyuarat Kongres Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) esok.

Ia susulan beliau yang juga Ketua Menteri Melaka mendapat ‘teguran’ daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu tunggakan tiga bulan gaji sejak Oktober tahun lalu diselesaikan secepat mungkin.

Teguran itu disambut positif Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka berjanji akan menyelesaikan tunggakan itu.