TMJ nafi salah tafsir, dakwa Peja tukar cerita selepas kantoi
Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan dakwaan beliau salah tafsir mengenai kos RM10 juta bagi baik pulih padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Ia susulan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan jumlah itu bukan hanya untuk SNBJ, tetapi bagi kebanyakan padang stadium yang memerlukan baik pulih atau penambahbaikan di seluruh negara.
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi satu komen pada akaun Instagram, malayantigerfans, menjelaskan ramai saksi ketika pertemuannya dengan Ahmad Faizal yang ketika itu memaklumkan kos untuk baik pulih padang stadium berjumlah RM10 juta.
“Saya ada ramai saksi malam itu beliau cakap 10 juta, apabila saya tanya berapa bajet buat padang SNBJ. Jadi, jangan tukar cerita,” tulisnya.
Sebelum ini, TMJ mempersoalkan kos RM10 juta yang diperlukan untuk membuat padang baharu di SNBJ.
Katanya, kos itu terlalu tinggi kerana beliau hanya memerlukan RM1.4 juta untuk membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang lengkap dengan sistem perpaipan, perparitan, tanah dan pelbagai lagi.
Namun, kelmarin, Ahmad Faizal Azumu menafikan kos membuat padang baharu di SNBJ membabitkan belanja RM10 juta, sebaliknya menjelaskan ia turut merangkumi kos membaikpulih padang di seluruh negara.
Sumber – Berita Harian