Tok Mat buat kejutan dedah punca kenapa BN pilih PH bentuk kerajaan berbanding bekas sekutunya, PN
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan adalah untuk membawa Malaysia keluar daripada kemelut pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Mohamad, misi parti itu juga selepas PRU-15 adalah memastikan bahawa kerajaan dapat dibentuk dengan bantuan UMNO walaupun mereka tewas.
Jelas beliau, terlalu banyak isu yang mencengkam rakyat saban hari dan pihaknya tidak boleh membiarkan drama politik ini berlarutan sehingga menjejaskan kualiti hidup rakyat.
“Kerana kedudukan negara yang genting pada saat itulah, maka UMNO memeterai persefahaman dengan Pakatan Harapan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bekerjasama, mentadbir negara ini.
“Kepimpinan berpandangan, bahawa penyertaan UMNO, dalam Kerajaan Perpaduan adalah jalan terbaik kerana ia memberikan UMNO peranan yang unik dan strategik,” katanya, memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian pada Majlis Persidangan Sayap UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, ramai juga yang mempersoalkan mengapa UMNO memilih untuk bekerjasama dengan PH bukan dengan Perikatan Nasional.
“Kita mendapati adalah sangat sukar, bekerjasama dengan parti yang kewujudan dan perjuangannya, ialah menghapuskan UMNO untuk selama-lamanya.
“Begitu juga, pengalaman kita bekerjasama dengan Pas. Mereka tidak pernah, setia atau ikhlas. Tanpa segan, mereka berselingkuh dengan semua parti, terutamanya si janda UMNO,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kerjasama dengan PH dibuat kerana UMNO lebih mengenali kesemua parti yang ada dalam Pakatan Harapan.
“Kita tahu siapa itu DAP. Kita juga tahu siapa itu PKR dan Amanah. Maka kita membuat keputusan, berdasarkan pilihan paling sesuai, untuk membolehkan kita mengurus perbezaan.
“Tetapi jika kita dengan PN, kita hanyalah pemain ketiga, yang berkongsi kepentingan demografi yang sama. Ini akan menyukarkan UMNO, mengurus segala perbezaan, di masa akan datang.
Tambah beliau, pilihan UMNO untuk bekerjasama dengan PH telah menjadikan parti itu UMNO mewakili kepentingan Melayu terbesar dalam kerajaan.