‘Tok Merah’ anggap perangai diva Peja musnahkan peluang PN menang bergaya di Negeri Sembilan

‘Tok Merah’ anggap perangai diva Peja musnahkan peluang PN menang bergaya di Negeri Sembilan

Pemilihan calon-calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dipersoalkan kerana sebahagian besar daripada mereka dikatakan tidak berpotensi untuk menang.

Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Mohammed Hafiz Baharuddin berkata, bukan rahsia lagi ramai dalam PN kecewa dengan pemilihan yang dibuat oleh Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut beliau, tindakan meletakkan calon-calon yang tidak kompeten dianggap seolah-olah mengkhianati semangat rakyat di negeri ini yang mahu perubahan.

“Calon-calon PN di Negeri Sembilan amat teruk, ada beberapa calon yang tua lebih 70 tahun, ada calon yang menipu pengalaman kerja, ada calon terkait penipuan sijil pengajian dan sebagainya.

“Sebenarnya dalam PN Negeri Sembilan mempunyai ramai barisan calon yang lebih berkelayakan dan hebat tetapi tidak diketengahkan dan kita percaya ada usaha dalam menjual kerusi untuk memastikan PN kalah dalam PRN kali ini,” dakwanya pada sidang media di Sikamat, memetik MalaysiaGazette.

Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Mohammed Hafiz yang juga dikenali sebagai Tok Merah membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Sikamat.

Mohammed Hafiz berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding dengan matlamat untuk menyelamatkan orang Melayu dan menegakkan integriti khususnya di Negeri Sembilan.

“Sememangnya majoriti yang hendak perubahan kecewa atas pencalonan yang teruk oleh PN tetapi itu bukan alasan untuk tidak keluar mengundi atau mengundi Pakatan Harapan (PH),” katanya.