Tokoh wartawan bidas sikap hipokrit rakyat Malaysia sambut kemenangan Oscar Michelle Yeoh

Tokoh wartawan bidas sikap hipokrit rakyat Malaysia sambut kemenangan Oscar Michelle Yeoh

Tokoh wartawan tanah air, Tan Sri A. Kadir Jasin menganggap rakyat Malaysia bersikap hipokrit dan berlebih-lebih ketika menyambut kemenangan anugerah Oscar oleh aktres kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh hari ini.

Tulisan beliau dikongsi menerusi satu hantaran yang telah dimuat naik di laman FB miliknya sebentar tadi.

Malah beliau turut mengambil kesempatan menempelak pihak yang dianggap punya kecenderungan “memaksa” segala bentuk seni “diserban” dan “dipurdahkan” dalam tulisannya itu.

Tahniah dan Terima Kasih Michelle Yeoh

1. Dalam kegembiraan kita dengan kemenangan artist antarabangsa, Michelle Yeoh, dalam anugerah Oscar tahun ini, kita juga perlu ikhlas bertanya diri kita sendiri.

2. Apakah sumbangan kita, atau lebih tepat, sumbangan Malaysia, kepada kecemerlangan beliau?

3. Ya, kita boleh berbangga mempunyai seorang warganegara yang berbakat, berani dan diiktiraf di peringkat paling tingga dalam dunia lakonan.

4. Sedikit pun kita tidak nafikan kecemerlangan beliau dan sumbangan beliau mengharumkan nama Malaysia.

5. Cuma, kita janganlah jadi hipokrit atau sekadar menanam tebu di tepi bibir kerana banyak di kalangan kita yang tidak toleransi terhadap kebebasan berseni dan berkarya.

6. Pada kebelakangan ini, terdapat kecenderungan “memaksa” segala bentuk seni “diserban” dan “dipurdahkan” manakala kelompok lain pula terpelohong mulutnya menonton drama tentang demonisme, masalah rumah tangga dan berebut harta.

7. Saya katakan Tan Sri Michelle Yeoh ini artist internasional kerana itulah beliau. Bayangkan, kalau beliau memilih berseni dan berkarya di Malaysia saja adakah beliau akan menjadi bintang besar seperti beliau hari ini?

8. Bukan dunia perfileman kita tidak pernah agung dan berjaya. Run Run Shaw, taikun hiburan tersohor Hong Kong, nampak dan memanfaatkan bakat luar biasa Almarhum P Ramlee. Sampai hari ini, kehebatan seni dan bakat P Ramlee masih menunggu-nunggu pengganti.

9. Kita bukan kekurangan bakat, tetapi kita terlalu cepat tunduk kepada golongan yang tidak menghargai bakat dan kebebasan berkarya yang suka menghalang dan melarang.

10. Harap-harap akan muncul banyak lagi Michelle Yeoh dan P Ramlee dalam dunia perfileman negara dan antarabangsa.

Sekian. Terima kasih.