Tolak Anwar sebagai PM, kerisauan Abdul Latiff beri petanda Peja bakal ‘bungkus ikat mati’ di Tambun
Pakatan Harapan (PH) tidak sewajarnya menamakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU-15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, ini kerana kes mahkamah difailkan bekas pembantunya, Yusof Rawther terhadap beliau belum selesai.
“Nama yang dicalonkan oleh parti-parti politik sebagai Perdana Menteri perlulah nama yang sesuai dihantar ke Istana Negara. Dalam keadaan ini, adalah terpulang kepada PH untuk bertanggungjawab dan mengkaji semula pencalonan bagi jawatan perdana menteri.
“Sehingga mahkamah tinggi memberi suatu keputusan dalam kes Yusoff, Anwar tidak layak dinamakan calon Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, yang dilapor Harian Metro hari ini.
Yusof membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap Anwar pada 14 Julai 2021 berhubung dakwaan serangan seksual yang dikatakan berlaku pada 2018 di kediaman pemimpin PKR itu.
Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, apatah lagi pada 19 Oktober lalu, Yusof menang suatu kes saman berkaitan isu ini terhadap setiausaha akhbar Anwar, apabila mahkamah memerintahkan ganti rugi RM200,000 dan kos dibayar kepada Yusof.
“Di mana-mana negara di dunia, adalah satu kebiasaan bahawa apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah laku seksual di mahkamah, maka beliau perlu menarik diri dari sebarang pilihan raya atau jawatan kerajaan sehingga selesai kes mahkamah terbabit.
“Ini adalah untuk memastikan hanya pemimpin yang bersih dan bermoral tinggi memegang jawatan kerajaan yang penting bagi memelihara keyakinan umum dan reputasi negara,” katanya.