Tolak keanggotaan jawatankuasa khas bebas, kembalikan demokrasi berparlimen

Tolak keanggotaan jawatankuasa khas bebas, kembalikan demokrasi berparlimen

1. Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional merujuk penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan (“Ordinan Darurat”) yang diwartakan pada 14 Januari 2021.

2. Jawatankuasa Khas Bebas ini berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam berikutan wabak COVID-19.

3. Kami berpandangan, penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas ini termasuk keanggotaan daripada wakil-wakil Pakatan Harapan (PH) adalah formaliti semata-mata bagi mengabsahkan pengisytiharan darurat demi survival kuasa Perikatan Nasional (PN).

4. Kuasa-kuasa meluas ( _sweeping powers_ ) sepanjang tempoh darurat ini yang dipusatkan kepada badan eksekutif serta menggantung fungsi legislatif iaitu Parlimen dan DUN, secara jelas telah menjejaskan prinsip semak imbang sekaligus mengancam kemurnian amalan Demokrasi Berparlimen di negara ini.

5. Kami menzahirkan kebimbangan kuasa-kuasa mutlak yang diperuntukkan di bawah Ordinan Darurat ini, termasuk kuasa mengambil milikan sementara harta, kuasa tambahan angkatan tentera, pengecualian tindakan undang-undang yang bersifat muktamad, konklusif serta tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah, bakal menghakis fungsi badan kehakiman dan legislatif; lantas melindungi pentadbiran PN daripada ketelusan dan pertanggungjawaban sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

6. Kami kekal berpendirian bahawa pengisytiharan darurat ini hanya bertujuan mengekalkan kuasa politik PN dan Perdana Menteri yang telah kehilangan majoriti, dengan tidak berlandaskan sains, mengabaikan pandangan pakar-pakar kesihatan awam dan ahli-ahli ekonomi dalam menangani wabak.

7. Lalu timbul kekhuatiran adakah penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas ini sekadar mengaburi mata rakyat agar pentadbiran PN dilihat seimbang, sedangkan peranan Jawatankuasa Khas Bebas jelas terbatas kepada peranan menasihati, sementara sebarang keputusan tetap dimuktamadkan oleh badan eksekutif?

8. Justeru kami menggesa tindakan-tindakan berikut segera diambil oleh Pakatan Harapan bagi menghantar mesej jelas kepada rakyat :

i) Menolak mengganggotai Jawatankuasa Khas Bebas, tidak sesekali mengiktiraf keabsahan pengisytiharan darurat atau mengambil bahagian dalam apa jua pertimbangan politik pentadbiran PN yang telah kehilangan kuasa ini.

ii) Menggesa persidangan Parlimen dipanggil segera untuk membahas keperluan meluluskan peruntukan tambahan, bantuan kewangan, kesihatan, pendidikan, perlindungan sosial rakyat dan
penambahbaikan polisi kesihatan awam sehingga penularan wabak terkawal.

iii) Meningkatkan keberkesanan peranan semak imbang PH atas segala keputusan kerajaan bagi memastikan tiada salahguna kuasa dalam tempoh darurat.

iv)  Menumpukan segala fokus dan kekuatan PH bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

v) Menggerakkan *Kempen Maya Selamatkan Demokrasi, Kembalikan Demokrasi Berparlimen* bagi mendesak dikembalikan fungsi-fungsi institusi demokrasi menurut prinsip Perlembagaan Persekutuan.

9. Sekali lagi kami secara tegas menolak keperluan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas, dan sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi kini sewajarnya dilakukan di Parlimen sebagai institusi demokrasi yang mewakili semua rakyat.

10. PN harus dipertanggungjawabkan atas kegagalan menangani krisis kesihatan dan krisis ekonomi, dan menjadi asbab kepada berlakunya krisis politik berpanjangan. PN tidak boleh sewenang-wenang dibiarkan terlepas daripada pertanggungjawaban semua krisis ini dengan berselindung di sebalik pengisytiharan darurat.

#PakatanHarapan
#AmanahDemiNegara
#AWANNasional
#KepimpinanWanitaUntukSemua
#KembalikanDemokrasi
#DemokrasiBerparlimen
#MajuTerus!

*SENATOR HJH AIMAN ATHIRAH AL JUNDI*