Tolak pengkhianat parti, Pemuda Umno laungkan amaran sedia ganti tempat MP pro Muhyiddin

Tolak pengkhianat parti, Pemuda Umno laungkan amaran sedia ganti tempat MP pro Muhyiddin

Ini masa sesuai untuk anak muda dan muka baharu dalam UMNO menerajui kepimpinan parti serta negara, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor.

Beliau berkata, kepimpinan muda dan muka baharu itu perlu diberi peluang untuk memimpin dengan dibantu kombinasi mereka yang berpengalaman.

“Suasana politik seakan tepu dengan jalan cerita berulang-ulang dan karektor yang mencetuskan konflik juga adalah mereka yang seakan sama dan serupa.

“Maka, inilah solusi yang paling sesuai untuk merungkai segala permasalahan dan kemelut yang sedang melanda.

“Anak-anak muda dan muka-muka baharu sudah pastinya akan hadir dengan pendekatan yang lebih segar dan berwajah baru,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Beliau mengulas perkara itu dipercayai ada hubung kait dengan kemelut dalaman politik yang berlaku mutakhir ini, apabila dilihat seperti berpecah kepada dua kumpulan.

Keadaan memuncak apabila Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Berikutan itu, 31 daripada 42 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikatakan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan mahu kerajaan PN dikekalkan sehingga sidang Parlimen pada 6 September ini.

Menurut Amin, sebagai parti politik yang cukup berpengalaman dan dewasa dalam sesebuah pentadbiran serta di dalamnya cukup ‘kaya’ dengan pelbagai sumber modal insan, percayalah pelapis sedia ada telah lama bersiap sedia untuk ditonjolkan.

“Sejujurnya, saya amat tidak suka apabila disuruh untuk membuat pilihan satu antara dua, sedangkan mereka ini adalah pemimpin saya dari ‘rumah’ yang sama, dari keluarga yang sama dan berkongsi juga perjuangan yang sama.

“Sungguhpun begitu, saya amat mengharapkan apa jua kemelut berlaku ketika ini akan ada penyelesaian yang penuh keharmonian supaya kami yang muda-muda ini diberikan cerminan contoh yang cukup mulia, bukan mengadu-domba. – MalaysiaGazette