Tolak PM Umno, Pas anggap tidak perlu tukar Muhyiddin

Tolak PM Umno, Pas anggap tidak perlu tukar Muhyiddin

Pas dilihat tidak menyokong Umno apabila tetap menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpendapat, partinya tidak menganggap satu keperluan untuk menukar Perdana Menteri dari Bersatu itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan tersebut menganggap Muhyiddin sebagai calon terbaik untuk menggalas jawatan berkenaan lantaran pengalaman dan kebolehan yang dimiliki.

“Bagi kami, setakat ini calon terbaik adalah Muhyiddin. Sesuai dengan kemampuan dan kedudukan beliau.

“Jadi, kenapa nak tukar memandangkan beliau masih baik dan sihat,” katanya.

Adun Panchor itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan stesen minyak BHPetrol di Lebuhraya Tunjung – Pasir Mas hari ini.

Mohd Amar mengulas kenyataan Ahli Parlimen Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menganggap tiada calon lebih berwibawa dalam kalangan Umno dan Pas untuk dilantik menjadi Perdana Menteri buat masa ini di samping kewibawaan Muhyiddin.

Untuk rekod, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa juga membuat ulasan di twitter mengenai jawatan perdana menteri.

“Umno mempunyai ramai tokoh yang berkeupayaan tinggi untuk sebarang tugas dan jawatan termasuk jawatan PM.

“Namun Umno juga pragmatik dalam bermuafakat dan berkongsi kuasa, asalkan matlamat perjuangan demi agama, bangsa dan negara dicapai.