Tragedi 1 Syawal, Imam kena langgar lari ketika berjalan kaki

Tragedi 1 Syawal, Imam kena langgar lari ketika berjalan kaki

Pada hari semalam tular satu rakaman video seorang lelaki dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Parit Haji Yusof, Benut, Pontian, Johor.

Dalam satu kenyataan rasmi Polis Daerah Pontian, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden tersebut pada pukul 2.17 petang hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 10.05 pagi itu menyebabkan imam tersebut yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun mengalami kecederaan di bahagian mulut.

“Mangsa kemudian telah dibawa ke Klinik Merlong dan terus dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk diberi rawatan.

“Kenderaan yang terbabit dalam insiden tersebut dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 33 tahun,” kata Superintendan Mohammad Shofee.

Menurut beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga tidak lebih 5 tahun serta denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan terperinci dan tindakan undang-undang diambil sekiranya menyebarkan berita tidak benar.

“Sebarang maklumat atau ingin melapor kejadian kemalangan boleh berhubung di talian hotline 07-6866224 @ 07-6869999,” jelas beliau.