Tragedi anak lemas di kolam pancing, ini penjelasan daripada ayah mangsa

Tragedi anak lemas di kolam pancing, ini penjelasan daripada ayah mangsa

“Saya menjerit sekuat hati sebaik melihat anak terapung di kolam. Saya turut berikhtiar termasuk memberi bantuan pernafasan (CPR) namun Tuhan lebih menyayanginya,” kata Mohd Rafi Ibrahim, 39.

Terdahulu, anaknya, Nur Rania Faizah yang berusia dua tahun lima bulan, tergelincir ke dalam kolam memancing di Bukit Besi, jam 5.15 petang semalam.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Dungun, jam 8 malam semalam.

Memetik Harian Metro, Mohd Rafi berkata, dia bersama isterinya, Fatinhanani Ali, 31, membawa Nur Rania Faizah serta dua lagi anak mereka, Muhammad Alim Solihim, 5, dan Muhammad Irfan Hakim, dua bulan, pergi memancing di kolam terbabit, jam 5 petang.

“Terdahulu, saya sedang memancing, isteri pula sedang menyusukan anak bongsu di sebuah tempat berteduh sementara Nur Rania Faizah bermain-main dengan Muhammad Alim Solihim tidak jauh daripada saya.

“Kurang 15 minit kemudian, Muhammad Alim Solihin menghampiri saya, bila saya tanya mana adik, Muhammad Solihin menjawab dia tidak tahu,” katanya.

Dia yang cemas terus mencari Nur Rania Faizah selain meminta bantuan penjaga kolam berkenaan membantunya.

“Remuk hati saya mendapati Nur Rania Faizah terapung di kolam, kira-kira 50 meter dari tempat saya memancing, sebelum penjaga kolam terjun untuk mendapatkan anak.

“Saya berusaha menyelamatkan Nur Rania Faizah. Ketika itu, banyak air keluar daripada mulutnya dan Nur Rania Faizah kelihatan sudah tidak bermaya,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya membawa Nur Rania Faizah ke Klinik Kesihatan Bukit Besi sebelum dirujuk ke Hospital Dungun.

Namun, dia dimaklumkan oleh pegawai perubatan yang anaknya itu gagal diselamatkan dan disahkan meninggal jam 8 malam.

Sementara itu, Fatinhanani berkata, dia teringin untuk makan ikan patin sebelum suaminya bersetuju membawa anak-anak memancing di kolam itu.

Menurutnya, apabila sedar Nur Rania Faizah hilang, dia menjerit beberapa kali memanggil nama anaknya itu.

“Bila dia tidak menyahut, hati saya mula gelisah sebelum dimaklumkan suami yang Nur Rania Faizah terjatuh ke dalam kolam.

“Saya tidak menyangka kunjungan kami ke sini, berakhir dengan kedukaan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang hari itu, Nur Rania Faizah sangat manja dengannya seolah-olah tidak mahu berpisah.

“Kelmarin, Nur Rania Faizah minta datuknya membawa dia ke kubur kerana dia mendakwa rindu untuk menziarah neneknya yang meninggal dunia tiga bulan lalu.

“Nur Rania Faizah turut berdoa selain menyiram kubur arwah neneknya itu,” katanya.

Fatinhanani berkata, pada pagi kejadian, datuk Nur Rania Faizah membeli kuih bakar kegemaran anaknya itu namun kanak-kanak berkenaan tidak memakannya sebaliknya menyuapkan kuih itu ke mulutnya.

Jenazah Nur Rania Faizah dituntut keluarganya jam 2.30 petang tadi, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran rumah keluarganya di Kampung Landas Ajil, Hulu Terengganu.