Tragis!!! Budak tiga tahun maut terjatuh tingkat 10 kondo

Tragis!!! Budak tiga tahun maut terjatuh tingkat 10 kondo

Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Jalan Dutamas.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di tingkat tiga kondominium itu.

Memetik laporan FMT, Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 berhubung kemalangan terbabit kira-kira 3.30 petang tadi.

“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ketika kejadian kanak-kanak itu dan ibunya berada di ruang tamu sebelum mangsa berlari ke bilik air dan memanjat tab mandi lalu naik ke atas tembok dalam tandas itu.

“Mangsa dipercayai membuka tingkap tandas sebelum menyusup keluar dan terjatuh di perimeter laluan bomba di tingkat tiga,” katanya.

Difahamkan, ibu mangsa yang berusia 32 tahun kemudian turun memaklumkan kepada pengurusan mengenai kejadian itu.

Katanya, polis sedang menyiasat dengan lebih lanjut berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa dibawa keluar oleh ibu mangsa kira-kira 7.30 malam sebelum menaiki kenderaan polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.