Tragis!!! Dua beradik maut selepas makan sisa makanan dalam tong sampah

Tragis!!! Dua beradik maut selepas makan sisa makanan dalam tong sampah

Dua beradik warga Myanmar maut dipercayai selepas makan sisa makanan dalam tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut di sini, hari ini.

Mangsa, Nizambudin, 4, dan adiknya, Ngei Jamaludin, 2, dilaporkan meninggal dunia pada 5.40 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis menerima maklumat kejadian itu pada 6.15 petang.

“Siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak itu melihat keduanya berada berhampiran tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum membawa kedua-duanya ke rumah jiran berhampiran.

“Beberapa minit selepas itu, dua kanak-kanak itu dapati tidak bernafas sebelum penduduk kampung menghubungi pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan yang dilaporkan Harian Metro.

Shariman berkata, bapa kanak-kanak terbabit bekerja mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan kerja kampung, selain mereka tiada kediaman tetap dan hanya menumpang di rumah jiran.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai makan sisa makanan diperoleh dalam tong sampah di kawasan mereka ditemui.

“Pengesahan kematian mereka dibuat oleh petugas perubatan dan kedua-duanya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk ujian saringan Covid-19 dan proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).