Tuan Ibrahim bidas Zahid, parti perlu kawal ahli parlimen

Tuan Ibrahim bidas Zahid, parti perlu kawal ahli parlimen

PUTRAJAYA – Parti politik perlu mengawal ahli-ahli Parlimen mereka untuk terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, ia juga merupakan tanggungjawab parti meskipun dalam demokrasi, sebarang sokongan yang diberikan adalah hak masing-masing.

“Dalam demokrasi itu (beri sokongan kepada Parti Keadilan Rakyat) hak masing-masing tapi bagi kita, parti bertanggungjawab mengawal ahli-ahli Parlimen bagi memastikan ahli parlimen kita mendokong kerajaan PN.

“Saya bercakap dalam konteks Pas bahawa kita kekal dengan kerajaan PN,” katanya dalam sidang akhbar Sambutan Hari Ozon Sedunia 2020 dan Pra Pelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan media berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO tidak dapat menghalang mana-mana ahli Parlimennya yang ingin menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahmad Zahid juga menyatakan bahawa beliau dimaklumkan terdapat ahli-ahli parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan mereka kepada Anwar.

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Ia susulan kenyataan tergempar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, beliau mencabar Anwar untuk menyenaraikan nama ahli Parlimen yang menyokong beliau bagi membuktikan dakwaan itu benar.

“Bagi Pas, jelas kita menyokong kerajaan PN dan tidak timbul soal untuk kita menyeberangi atau menyokong yang lain.

“Setakat ini semua setiausaha agung parti telah mengeluarkan kenyataan bersama dan saya kira itu sudah cukup,” katanya.

Sumber : Sinar Harian