Tuan Ibrahim diselar bodoh selepas cuba samakan perarakan pedang pemuda PAS dengan opera Cina
Selebriti yang juga bekas juruhebah radio Patrick Teoh menyelar tindakan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang membandingkan penampilkan peserta Himpunan Pemuda Islam Negeri Terengganu (Himpit) 2023 dengan persembahan opera Cina.
Teoh menyifatkan perbandingan itu merupakan perkara paling bodoh berhubung acara yang mengundang perhatian itu.
“Bagi polis untuk membenarkannya sudah mengejutkan dan membimbangkan, tetapi polis berkata mereka tidak tahu acara itu melibatkan replika senjata.
“Tetapi yang paling bodoh ialah Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan berkata perkara itu tidak sepatutnya diperbesarkan dan dia juga membuat persamaan antara perhimpunan Himpit dan opera Cina, di mana penghibur kadang-kadang turut membawa pedang dan lembing,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, perbezaan antara dua perkara itu adalah opera Cina dipersembahkan di pentas, bukannnya melibatkan perarakan di jalan raya.
Semalam program Himpit mendapat perhatian ramai selepas menampilkan peserta berpakaian dilengkapi replika senjata, selain replika pedang gergasi yang diarak di atas lori
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata ia memberi gambaran tidak baik kepada agama, dan pengajur sebaiknya menonjolkan unsur Islam yang bersifat damai.
Bagaimanapun Tuan Ibrahim menegaskan isu itu tidak seharusnya diperbesarkan.
“Ia sama seperti opera Cina di mana pelakonnya turut membawa pedang dan lembing.
“Tiada isu di sini. Adalah lebih baik untuk kita menumpukan masa dan tenaga kepada perkara yang lebih penting seperti menangani peningkatan kos sara hidup, pendidikan dan masalah sosial,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times.
https://www.malaysiakini.com/news/655660
Selain opera Cina, pemimpin PAS juga membandingkan acara itu dengan cosplay – yang memaparkan watak anime bersenjata – dan perarakan Hari Pahlawan.