Tuduh pindah wang RM13j, Sanusi guna peluru masuk angin tembak Mukhriz

Tuduh pindah wang RM13j, Sanusi guna peluru masuk angin tembak Mukhriz

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah hari ini mengumumkan pihaknya belum menerima sebarang arahan bagi melakukan siasatan lanjut berkaitan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang didakwa dipindahkan ke akaun luar negara seperti didedahkan Menteri Besar Kedah.

Pengarahnya, Shaharom Nizam Abd Manap, berkata dokumen berkaitan siasatan itu sudah dikemukakan kepada Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, selepas satu kenyataan media dibuat Sanusi pada September lalu.

“Kita sudah dapatkan maklumat daripada pihak berkenaan dan kemukakan kepada ibu pejabat untuk arahan lanjut.

“Setakat ini tiada apa-apa lagi, malah tidak ada mana-mana pihak termasuk pembangkang (Dewan Undangan Negeri) hadir membuat laporan rasmi kepada SPRM,” katanya menurut laporan portal akhbar FMT.

Pada sidang media selepas persidangan DUN September lalu, Sanusi mendakwa wang milik MBI berjumlah RM13 juta dipindahkan ke akaun luar negara ketika Mukhriz Mahathir masih memegang jawatan Menteri Besar.

Sanusi berkata, wang itu dipindahkan ke sebuah akaun bank di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.

Bagaimanapun, Mukhriz meminta Sanusi membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan itu.

Mukhriz berkata, beliau memandang serius dakwaan itu kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan negeri terdahulu ketika beliau menerajui Kedah.