Tuduhan kekal, jangan benarkan Muhyiddin keluar negara – Pasukan pendakwaan

Tuduhan kekal, jangan benarkan Muhyiddin keluar negara – Pasukan pendakwaan

 

Pasukan pendakwaan dalam kes membabitkan presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin telah berhujah menentang permohonan Mahiaddin untuk mendapatkan semula pasportnya.

Menerusi afidavit yang dikemukakan, timbalan pendakwaraya Lim Wai Keong permohonan pasport tanpa syarat oleh Mahiaddin tidak perlu dilayan kerana bekas perdana menteri tersebut masih berhadapan dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dengan program Jana Wibawa.

Lim menambah bahawa pasukan pendakwaan turut membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menggugurkan tuduhan salah guna kuasa.

Pendengaran kes rayuan akan berlangsung pada 28 dan 29 Februari.

Lim menambah di dalam afidavit bahawa pasukan pendakwaan mengambil pendirian bahawa kes pengubahan wang haram tidak bergantung kepada kes lain.

“Pemohon telah berhujah bahawa tuduhan pengubahan wang haram tidak berasas kerana tuduhan salah guna kuasa telah digugurkan di atas alasan ia tidak berasas.

Mahiaddin nak DNAA

Timbalan pendakwaraya tersebut turut menyatakan bahawa permohonan Mahiaddin untuk mengetepikan tuduhan pengubahan wang haram belum didengar di mahkamah sesyen.

Mahiaddin yang juga MP Pagoh mendakwa tuduhan pengubahan wang haram tiada asas dan mahu mahkamah sesyen mengetepikannya.

Beliau juga mahu dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Afidavit pasukan pendakwaraya turut berhujah bahawa bon jaminan Mahiaddin dalam kes Mahiaddin masih terpakai sebagai syarat keberadaan Mahiaddin dalam pendengaran kes pengubahan wang haram.

“Saya menafikan ada perubahan dalam keadaan. Pemohon tidak akan berdepan ketidakadilan sekiranya syarat jaminan kekal,” kata Lim.

Mahiaddin ketika ini hanya boleh memohon pelepasan sementara dokumen perjalanan dari semasa ke semasa untuk keluar negeri untuk bercuti dan tujuan perubatan.

Lim menambah bahawa mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM2 juta kerana Mahiaddin ada potensi menjadi risiko penerbangan dan itulah sebabnya pasportnya ditahan.

Dah tempah tiket ke UK

Mahiaddin menerusi permohonan yang difailkan pada 16 Oktober telah memohon variasi syarat jaminan termasuk pelepasan dokumen perjalanan tanpa syarat agar beliau boleh bercuti bersama keluarga.

Mahiaddin berhasrat bercuti di United Kingdom memandangkan beliau dan keluarga menghadapi tekanan tahun ini.

Tiket penerbangannya juga telahpun ditempah dan pasport diperlukan untuk menjalani ujian kesihatan di Singapura.

Pada 10 Mac mahkamah sesyen mengarahkan Mahiaddin menyerahkan dokumen perjalanannya selagi pendengaran kes salah guna kuasa untuk memperoleh RM232.5 juta untuk partinya dan kes pengubahan wang haram.

Pada 15 Ogos, Hakim Jamil Husin mengenepikan tuduhan salah guna kuasa kerana pertuduhan samar yang tidak membenarkan pasukan peguam Mahiaddin bersedia dalam pendengaran kes.