Tuduhan MB Kelantan pada 2 Adun pembangkang sangat bahaya, boleh memecah-belahkan umat Islam
Umno Kelantan menasihatkan menteri besar negeri itu agar berhati-hati semasa berkata-kata bagi mengelak umat Islam berpecah-belah.
Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata dalam keadaan sekarang apa yang perlu dilakukan PAS dan kerjaaan negeri ialah mencari titik persamaan, bukan perbalahan.
“Pesanan ikhlas saya kepada menteri besar, tadbirlah negeri ini dengan panduan al-Quran dan hadis yang betul, jagalah tutur kata apabila berbicara, peliharalah keharmonian hubungan antara saudara semuslim dan carilah titik persamaan, bukannya perbezaan yang boleh memecahbelahkan umat Islam,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Ahmad Jazlan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dibuat Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud yang melabelkan dua Adun pembangkang di negeri itu sebagai pihak yang menentang perjuangan Islam.
Dua Adun terbabit ialah Dr Hafidzah Mustakim (Kota Lama) dan Mohd Syahbuddin Hashim (Galas).
Ia mencetuskan bantahan pelbagai pihak kerana dianggap boleh menyebabkan kekeliruan serta memberi implikasi yang sangat besar kepada dua Adun terbabit.
Mohd Nassuruddin bagaimanapun enggan meminta maaf atas kenyataan tersebut dan sedia berdepan dengan tindakan undang-undang.
Ahmad Jazlan berkata Umno Kelantan berasa amat tersinggung dengan kenyataan tersebut dan menganggap Mohd Nassuruddin sebagai angkuh.
“Ingin saya tegaskan kepada menteri besar bahawa tidak mungkin kami yang memperjuangkan Islam dan Melayu ini menentang perjuangan Islam, sementelah ia bukanlah hak eksklusif parti tertentu sahaja.
“Pernyataan seperti itu sangat bahaya kerana boleh membawa interpretasi lain kepada masyarakat, seolah-olah Islam ini milik PAS saja sedangkan orang Melayu Islam dalam BN dan PH juga menjalankan kewajiban Rukun Islam yang sama,” katanya.
Tindakan Mohd Nassuruddin itu juga, kata Ahmad Jazlan, boleh menggugat keharmonian hubungan sesama umat Islam di Kelantan kerana budaya takfiri menjadi mainan ahli politik untuk menghalalkan tindakan mereka.