Tujuh individu popular dengan IQ tinggi, tak sangka artis Malaysia turut tersenarai

Tujuh individu popular dengan IQ tinggi, tak sangka artis Malaysia turut tersenarai

 

SKOR kecerdasan otak (IQ) tahap tinggi ialah nombor untuk mengukur kecerdasan individu berdasarkan prestasi ujian mereka dalam bidang pemahaman lisan, penaakulan persepsi, ingatan dan kelajuan pemprosesan.

Terdapat pelbagai jenis ujian IQ yang menggunakan pelbagai persamaan untuk mengira IQ, tetapi Skala Kecerdasan Dewasa Wechsler edisi keempat (WAIS-IV) dianggap sebagai standard emas dalam mengukur kecerdasan dengan mempunyai julat skor seperti berikut:

  • 130 dan ke atas: Sangat superior
  • 120 hingga 129: Superior
  • 110 hingga 119: Pertengahan tinggi
  • 90 hingga 109: Pertengahan
  • 80 hingga 89: Pertengahan rendah
  • 70 hingga 79: Garis sempadan
  • 69 ke bawah: Sangat rendah

Dengan lebih 145,000 ahli di 90 negara, Mensa ialah salah satu masyarakat IQ terbesar di dunia.

1. Kyung Park

Kyung Park adalah salah seorang ahli kumpulan lelaki Block B dari Korea Selatan dan dia merupakan ahli Mensa dengan skor IQ 156.

Park yang berusia 30 tahun dan juga penyanyi rap mendedahkan bahawa dia menyelesaikan 45 masalah dalam masa 20 minit.

2. Marilyn Vos Savant

Walaupun Buku Rekod Dunia Guinness tidak lagi menerbitkan kategori untuk IQ tertinggi, tetapi Marilyn vos Savant pernah memegang rekod itu sebelum ini.

Kolumnis majalah yang terkenal dari Amerika Syarikat (AS) itu mendapat skor IQ sebanyak 228.

3. Chino XL

Mesti ada yang terkejut apabila tahu yang penyanyi rap dan pelakon dari AS ini adalah salah seorang ahli Mensa.

Chino Xl atau nama lengkapnya Derek Keith Barbosa telah berjaya mengeluarkan empat album studio solo dan 24 single.

Menerusi album Ricanstruction: The Black Rosary Chino XL berjaya memenangi anugerah Album Terbaik HHUG 2012.

4. Nolan Gould

Pelakon lelaki dari AS yang berusia 24 tahun ini turut tersenarai sebagai salah seorang ahli Mensa. Oleh kerana memiliki IQ yang tinggi, Gould menamatkan sekolah menengah pada usia 13 tahun.

Dia juga sering memukau pengacara rancangan bual bicara dengan kepetahan dan kebijaksanaannya ketika bercakap.

Gould pernah memenangi Anugerah Persatuan Pelakon Skrin untuk Persembahan Cemerlang oleh Ensemble dalam Siri Komedi, MORE.

5. Geena Davis

Virginia Elizabeth Davis atau Geena Davis adalah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Pelakon dan penerbit dari AS itu memenangi pelbagai pengiktirafan atas hasil kerjanya yang cukup cemerlang termasuk daripada Academy Award dan Golden Globe Award.

Dia turut mengasaskan Geena Davis Institute on Gender in Media iaitu sebuah yayasan yang didedikasikan untuk meningkatkan keterlihatan watak wanita dalam media.

6. Kara Hayward

Kara Hayward pernah mengejutkan dunia dengan persembahannya di Moonrise Kingdom ketika dia baru berusia 13 tahun.

Walau bagaimanapun yang lebih mengagumkan ialah penerimaannya ke Mensa ketika berusia sembilan tahun.

Antara filem yang dibintangi oleh pelakon AS berusia 24 tahun itu ialah Slayers, To the Stars dan  Isle of Dogs.

7. Amelia Henderson

Amelia Henderson atau nama lengkapnya Amelia Thripura Henderson merupakan seorang pelakon, personaliti televisyen, YouTuber dan model yang cukup popular di Malaysia.

Bukan sahaja dikurniakan rupa paras jelita, dia juga memiliki IQ tinggi dengan skor sebanyak 180.