Tukang jahit luah rasa sebak, pelajar minta labuhkan seluar sekolah lusuh

Tukang jahit luah rasa sebak, pelajar minta labuhkan seluar sekolah lusuh

Perkongsian seorang tukang jahit mengenai salah seorang pelanggannya yang meminta untuk seluar sekolahnya dilabuhkan mengundang sebak orang ramai.

Menurut perkongsian tukang jahit itu di Facebook, katanya kejadian itu berlaku baru-baru ini apabila seorang pelajar lelaki datang ke kedainya dengan membawa sehelai seluar sekolah yang sudah lusuh.

“Semalam ada budak lelaki datang minta tolong labuhkan seluar sekolah dia. Seluar saiz 33 dan warnanya sudah lusuh.

“Labuh asal 36 inci dan dia minta kalau dapat jadikan 37 inci. Termenung sekejap aku. Kenapa tak beli seluar baru? Basi seluar ada satu inci macam mana nak lipat kelepet seluar itu nanti?,” katanya.

Katanya, pelajar tersebut memintanya untuk mengubah seluar berkenaan supa bila dipakai tidak kelihatan singkat selain sempat bertanya berapa upahnya sebelum beredar.

“Aku jahit tepi hujung kaki seluar dan aku lipat dua hun saja, bila ukur semula dapatlah labuh 37 inci. Dalam hati aku dah niatlah, aku tak caj upah kat budak ini. Tak sanggup nak minta upah, aku sedekah,” jelasnya.

Katanya lagi, dia tidak menyangka masih ada yang susah untuk membeli pakaian sekolah.

“Budak ini bukanlah pelajar cemerlang, tetapi dia masih nak pergi sekolah. Aku harap dia cemerlang dalam apa sahaja bidang yang dia ceburi. Kadang-kadang kita rasa kita susah, rupa-rupanya ada lagi yang susah,” tambahnya.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna turut sebak dengan perkongsian itu, selain ada yang berkongsi pengalaman sama semasa masih bersekolah dahulu.

“Memang masih ramai yang sukar dalam meneruskan kehidupan. Bukan tak usaha, tetapi mungkin rezeki untuk lebih selesa belum tiba. Semoga satu masa akan tiba untuk kehidupan yang sangat-sangat selesa,” kata Saidatul.

“Dulu zaman sekolah abah akan belikan uniform sekolah yang lebih besar supaya dapat pakai beberapa tahun. Beg dan kasut juga pakai hingga lusuh, pengorbanan keluarga anak ramai,” kongsi Lya.

“Saya belikan anak seluar di kedai ‘bundle’ saja tahun lepas, bajet tidak ada,” kata Kak Chik.

“Seluar sekolah rendah pun dah berharga lebih RM30, kalau ada empat orang dah berapa kos untuk seluar saja. Semoga Allah permudahkan urusan kita,”