Tular kisah budak terbaring kelaparan tiada makanan, mertua Mira Filzah nafi kejadian di parlimennya

Tular kisah budak terbaring kelaparan tiada makanan, mertua Mira Filzah nafi kejadian di parlimennya

 

Pejabat Ahli Parlimen Kuala Kangsar menafikan tidak membantu rakyat di kawasan berkenaan yang terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menerusi kenyataan sebagai reaksi video tular temubual sebuah stesen radio, pejabat berkenaan memaklumkan sudah melakukan pelbagai usaha termasuk memberi bantuan sejak PKP 1.0 pada tahun lalu.

Menurutnya, ia bagi memastikan tiada pihak atau keluarga di parlimen itu terputus bekalan makanan.

“Usaha terkini adalah menggerakkan kempen besar-besaran melalui talian hotline khusus bagi mereka yang memerlukan dengan segala aduan akan diambil tindakan sewajarnya.

“Terdapat juga kemungkinan berlaku kekeliruan dalam memahami takrifan ‘Kuala Kangsar’ seperti dinyatakan dalam temubual berkenaan sama ada merujuk kepada parlimen atau daerah.

“Untuk makluman, daerah Kuala Kangsar mempunyai tiga parlimen iaitu Parlimen Padang Rengas, Parlimen Sungai Siput dan Parlimen Kuala Kangsar sekali gus timbul sedikit kekeliruan dalam menentukan kedudukan lokasi penerima bantuan,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook Pejabat Parlimen Kuala Kangsar.

Untuk rekod, Parlimen Kuala Kangsar diwakili Datuk Mastura Mohd Yazid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut kenyataan sama, pihaknya sering menerima permohonan bantuan di luar kawasan Parlimen Kuala Kangsar, dan akan dipanjangkan kepada pihak yang berkaitan.

“Begitupun, Pejabat Parlimen Kuala Kangsar tidak menolak kemungkinan adanya kes (tertentu) yang tidak sampai ke pengetahuan kami.

“Justeru, kami sangat mengalu-alukan penyampaian maklumat seumpama ini baik dari pihak perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan masyarakat dan lain-lain bagi memastikan tiada pihak yang tertinggal dan terputus bekalan makanan,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 16 saat tular, hari ini mendakwa bantuan tidak sampai kepada beberapa keluarga memerlukan di Kuala Kangsar.

Sumber – Harian Metro