Tular majlis pertunangan kanak-kanak berumur 7 tahun di media sosial

Tular majlis pertunangan kanak-kanak berumur 7 tahun di media sosial

 

Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan majlis pertunangan seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun di Madura, wilayah Jawa Timur, lapor akhbar Tribunnews semalam.

Lebih mengejutkan, budak perempuan yang tidak didedahkan namanya  itu ditunangkan dengan seorang kanak-kanak  lelaki yang juga berusia tujuh tahun.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam akaun TikTok @z0yaahmad, penduduk tempatan dilihat menghadiri majlis berkenaan dan menyaksikan pertunangan mereka.

Keluarga kanak-kanak lelaki itu membawa barang-barang hantaran termasuk emas.

Seorang ahli keluarganya menyarungkan perhiasan pada kanak-kanak perempuan itu sama seperti majlis pertunangan orang dewasa.

Menurut pemilik akaun TikTok tersebut, kedua-dua mereka dijodohkan sejak dari kecil dan akan berkahwin apabila memasuki usia dewasa.