Tular orang ramai mula pakat tanam padi kecil-kecilan dalam pasu, keliling rumah
Sejak kebelakangan ini, perkongsian berkenaan aktiviti menanam padi secara kecil-kecilan mulai rancak dalam kalangan warga maya. Perbincangan dilihat menjadi trend, khususnya dalam kalangan pengguna Facebook.
Dalam pasu bunga, di kebun mahupun di belakang rumah, mereka berkongsi kawanan penanaman padi masing-masing untuk tatapan bersama.
Memetik Sinar Harian, seorang wanita berkongsi kisahnya menanam padi di sekeliling kawasan rumah di Sungai Buloh sejak lima tahun lalu.
Pada asalnya, Norsaliha Mohamed Amzah telah memulakan aktiviti bendang mininya sekadar sebagai satu hobi dan juga terapi kepada suaminya yang sakit.
Namun, siapa sangka hobinya yang dipupuk sejak lima tahun lepas sedikit sebanyak dapat membantunya menampung keperluan harian. Lebih-lebih lagi ketika ini ada dakwaan bahawa harga beras naik di pasaran.
“Padi seperti yang kita tahu perlu ada tali air tapi disebabkan saya tanam secara kecil-kecilan, tanam pula di Sungai Buloh maka kita sesuaikan dengan keadaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Norsaliha, padi yang ditanamnya mampu membuahkan hasil tiga kali setahun dan menghasilkan kira-kira 10 kilogram (kg) bagi setiap musim.
Bendang mini tarikan pengunjung untuk mengunjungi kafe
Selain menampung keperluan bekalan makanan ruji, nilai estetik tanaman yang tumbuh secara cantik dan indah di atas bendang juga wajar dihargai.
Seorang wanita asal Kuala Selangor telah berkongsi kisah kafe yang baru siap, DkebunStall yang terletak di Kg Raja Musa, Kuala Selangor.
Wanita yang dikenali sebagai Wahida Hambali ini telah berkongsi kisah kafenya menerusi hantaran Facebook pada 4.50 petang, 29 September lalu.
Menariknya, kafe yang baru dibangunkan memiliki satu tarikan luar biasa iaitu bendang mini yang tersergam indah.
Kehadiran bendang padi mini itu dapat memberikan kelainan serta memberikan pengetahuan unik kepada pengunjung yang hadir ke kafenya.
Jelasnya dalam hantaran Facebook, kafe comelnya mengambil masa kira-kira satu bulan untuk siap sepenuhnya.
“Insyaallah tunggu dapur sampai baru buka untuk makan tengahari dan celup celup crispy.”
Setakat ini, kafe ini menyajikan hidangan berupa pisang goreng kepada pengunjung yang hadir ke kafenya.