Tular parodi ‘Pinjam 100 Nur Nilam Sari’, rupanya ada kisah tersirat di sebalik lagu ciptaan M Nasir yang ramai tak tahu
Ketika ini berlegar di media sosial trend lirik lagu ‘pinjam seratus, Nur Nilam Sari, pinjam dahulu bayar nanti’ yang diubah mengikut rentak lagu Nur Nilam Sari nyanyian penyanyi terkenal, Awie.
Trend tersebut bukan sahaja diikuti oleh netizen, malahan Awie sendiri mengikut trend nyanyian tersebut. Menerusi dialog dalam Sepahtu Reunion juga diselitkan dengan trend ini.
@awiealpamalo
Tetapi, dalam kita mengikuti trend yang dibawakan, tahukah anda bahawa lagu Nur Nilam Sari yang dicipta oleh M. Nasir dan lirik ditulis oleh Allahyarham Loloq itu sebenarnya mempunyai makna yang cukup mendalam. Lagu tersebut sebagai tribute pemergian isteri kepada pencipta lagu ini sendiri.
Beberapa perkongsian di media sosial menceritakan makna dan sejarah di sebalik lagu ini.
“Lagu ini sebenarnya mempunyai latar belakang yang mendalam bagi sang pencipta lagu. Permulaannya ia dicipta sebagai lagu kesyukuran sang ayah setelah menerima anak perempuan yang dinantikan setelah sekian lama.
“Tetapi bertukar menjadi tribute kepada arwah isteri apabila isterinya meninggal dunia setelah usia Nur Nilam Sari menjangkau dua bulan setengah,” tulis Adib Hazlami.
Allahyarhamah Junainah Johari yang merupakan bekas anggota Ideal Sisters, meninggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 3 petang, 8 Ogos 1998, akibat penyakit lelah dihidapinya.
Allahyarhamah yang lebih dikenali sebagai Nana, diserang penyakit itu kira-kira jam 10 pagi beberapa hari sebelum kematiannya sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan tidak sedar diri sejam kemudian.
Selain Nur Nilam Sari yang juga satu-satunya cahaya mata perempuan Nana dan Nasir, mereka turut mempunyai empat anak lelaki – Ilham, Yasin, Mohd Hidayat dan Shafie.
Setelah kematian Junainah, M Nasir telah melangsungkan perkahwinan dengan selebriti Marlia Musa pada 7 Mei 2000 dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Suci Musalmah.