Tular seorang lelaki diserang sakit jantung dalam pesawat berjaya diselamatkan

Tular seorang lelaki diserang sakit jantung dalam pesawat berjaya diselamatkan

 

Seorang doktor dilaporkan telah berjuang selama beberapa jam untuk menyelamatkan nyawa seorang penumpang, dimana jantungnya telah terhenti sebanyak dua kali dalam sebuah penerbangan dari Britain ke India.

Memetik laporan SCMP, kejadian itu berlaku sewaktu doktor itu sedang menaiki pesawat Air India bersama ibunya untuk pergi ke Bangalore.

Menurut doktor yang juga merupakan Pakar Perunding Hematologi, dia telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan penumpang yang berusia 43 tahun itu.

“Ia mengambil masa kira-kira sejam untuk memulihkan penumpang itu sebelum saya berjaya mendapatkannya kembali. Pada masa ini, saya bertanya kepada kru kabin di dalam pesawat sama ada mereka mempunyai sebarang ubat.

“Nasib baik, mereka mempunyai kit kecemasan yang sangat mengejutkan saya, termasuklah ubat resusitasi yang dapat membantu menyelamatkan lelaki itu,” jelasnya.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku doktor tersebut hanya mempunyai alat bantuan pernafasan dan defibrilator luaran automatik sahaja.

Berkat pertolongan penumpang lain, dia berjaya mendapatkan alat pemantau kadar jantung, mesin tekanan darah, oksimeter nadi dan meter glukosa untuk memantau tanda-tanda vital pesakit.

Bagaimanapun, lelaki tersebut kemudiannya mengalami serangan jantung buat kali kedua.

Ekoran kejadian itu, doktor itu terpaksa mengambil masa yang lebih lama untuk memulihkan lelaki tersebut buat kali kedua.

“Dia tidak mempunyai kadar denyutan nadi yang baik atau tekanan darah yang baik selama hampir dua jam dalam pesawat.

“Selain kru kabin, kami cuba memastikan dia hidup selama lima jam secara keseluruhan. Ia amat menakutkan kami semua, terutamanya penumpang lain,” jelas doktor berkenaan.

Sementara itu, juruterbang dikatakan telah meminta kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang Pakistan, namun permintaan itu ditolak. Pesawat itu sebaliknya mendarat di Mumbai, di mana kakitangan kecemasan sudah menunggu di landasan.

Setelah berjaya mendarat, penumpang tersebut segera mengucapkan terima kasih kepada doktor yang telah menyelamatkan nyawanya.

“Saya selamanya terhutang budi kepada doktor kerana telah menyelamatkan nyawa saya,” katanya.

Sementara itu, doktor tersebut berkata bahawa ia merupakan kali pertama dia memberikan rawatan serangan jantung dalam tujuh tahun bekerja sebagai pakar perunding hematologi, malah ia juga merupakan pengalaman pertama beraksi di hadapan ibunya.