Tular Teresa dilantik jadi Pengerusi Felda baru, saraf cap ayam PN bakal makan diri

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menafikan terdapat sebarang pelantikan baharu bagi jawatan pengerusi yang kosong berkuatkuasa 30 Jun ini.
“Tiada sebarang pengumuman rasmi berkenaan pelantikan Pengerusi Felda yang baharu sehingga hari ini 22 Jun 2023. Sebaran poster adalah tidak berkaitan,” katanya dalam kenyataan ringkas.
Kenyataan itu dibuat menerusi Facebook Felda susulan tersebar poster mendakwa Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok telah dilantik sebagai pengerusi yang baharu.
Sejak pagi tadi poster ucapan tahniah kepada Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh disebarkan di media sosial termasuk di WhatsApp.
Jawatan Pengerusi Felda kosong selepas penyandangnya, Tan Sri Idris Jusoh mengesahkan pengunduran beliau daripada jawatan berkenaan berkuat kuasa 30 Jun ini.
Menerusi laman Facebooknya, bekas Menteri Pendidikan Tinggi itu menjelaskan, beliau menerima keputusan daripada Pejabat Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada lantikan pengganti baharu.
Idris dalam kenyataannya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi peluang kepadanya menjawat jawatan berkenaan.
Idris dilantik sebagai Pengerusi Felda dan Pengerusi Lembaga Pengarah agensi itu, berkuat kuasa 1 Mei 2020.
Bagaimanapun, pengganti beliau bagi jawatan Pengerusi Felda masih belum diumumkan.