Tular tunjuk kad kuasa lagak samseng, PDRM sahkan pemandu Honda City adalah polis bantuan

Tular tunjuk kad kuasa lagak samseng, PDRM sahkan pemandu Honda City adalah polis bantuan

Tular satu video yang menunjukkan tindakan seorang pengguna jalan menunjukkan kad kuasa yang didakwa kad kuasa polis dalam satu insiden, baru-baru ini.

 

Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur menerusi laman facebook rasminya mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut.

Menurut kenyataan itu, klip video yang memaparkan situasi tegang antara dua orang pemandu kereta di Lebuhraya DUKE, menghala ke Ulu Kelang dikesan menjadi tular menerusi platform Facebook.

Hasil semakan lanjut,  Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Bin Abu Samah, berkata terdapat satu laporan yang diterima pada 30 April 2023 berhubung insiden berkenaan.

Pengadu dalam laporannya mendakwa insiden berkenaan melibatkan sebuah kenderaan Honda City telah dipandu secara berbahaya dan cuba mengganggu perjalannya.

Subjek juga bertindak mengeluarkan seperti kad Polis dan menunjuk kepada pengadu menerusi tingkap pemandu.

Subjek dilaporkan turut menfailkan aduan di balai polis pada keesokan harinya

Pada keesokan harinya, subjek telah hadir ke Balai Polis Pandan Indah, IPD Ampang Jaya dan membuat laporan yang mendakwa pengadu mengganggu laluannya tanpa memberikan lampu isyarat ketika mengubah haluan.

Oleh sebab itu, subjek bertindak menunjukkan kad kuasa Polis bertujuan untuk membuatkan pengadu tersebut berhenti.

Hasil semakan mendapati, subjek merupakan Polis Bantuan yang bekerja dengan sebuah bank.

“Kes telah diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Majistret atau “RKM”. Pihak IPD Wangsa Maju akan merujuk ke agensi Polis Bantuan berkenaan untuk tindakan lanjut.” kata Ashari.

Semakan polis, pemandu Honda City adalah polis bantuan

Ashari mengingatkan orang ramai agar berhati-hati bagi mengelakkan diri daripada menjadi sasaran mata penjenayah.

Berhubung kes di atas, pihaknya turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Selain itu, orang ramai juga boleh berbuat demikian di mana-mana Balai Polis berhampiran dengan kawasan kediaman.