Tular video aksi kejar mengejar penunggang motosikal tak endah arahan polis, ini kisah sebenarnya

Tular video aksi kejar mengejar penunggang motosikal tak endah arahan polis, ini kisah sebenarnya

 

Individu lelaki yang tular apabila tidak mengendahkan arahan pihak polis ketika menunggang motosikal Jalan Felda Air Tawar 5-Felda Semenchu di sini kelmarin, disyaki merupakan pesakit mental.

Rakaman aksi kejar mengejar polis dan lelaki berkenaan yang tidak memakai topi keledar serta enggan berhenti biarpun diarahkan pihak polis berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, semasa kejadian rondaan pencegahan jenayah dilakukan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) sebelum terserempak dengan lelaki berkenaan yang menunggang motosikal jenis Modenas.

“Anggota polis telah mengarahkan lelaki tersebut untuk berhenti di tepi jalan bagi tujuan pemeriksaan, namun gagal mendapat kerjasama.

“Anggota MPV terus mengekori motosikal dan aksi tersebut tamat apabila ia memasuki sebuah kawasan Ladang Sawit di Felda Semenchu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hussin berkata, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah berjaya mengesan kediaman lelaki terbabit dan tindakan pemeriksaan telah dijalankan oleh Ketua Polis Balai Teluk Sengat bersama anggota.

Katanya, hasil siasatan awal di kediaman, mendapati keadaan rumah tiada penghuni dan pintu berkunci.

“Pihak polis turut mendapat pengesahan daripada penduduk setempat mengatakan penama merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 46 tahun dan mempunyai rekod kesihatan mental.

“Usaha lanjut bagi mengesan penama sedang dilakukan dan diminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penama untuk menyalurkannya kepada pihak Polis di Bilik Gerakan IPD Kota Tinggi di talian 07-8837222,”katanya.

Semalam tular video berdurasi 30 saat di laman sosial Facebook memaparkan tindakan seorang penunggang motosikal yang enggan berhenti biarpun diarahkan berbuat demikian.

Motosikal itu bergerak ke kiri dan ke kanan dan tidak menghiraukan arahan serta siren MPV yang dibunyikan kepadanya.