Tular video motosikal rempuh kereta, anak tak pakai topi keledar jatuh tergolek atas jalan

Tular video motosikal rempuh kereta, anak tak pakai topi keledar jatuh tergolek atas jalan

Tular satu rakaman papan pemuka (dashboard) di media sosial memaparkan sebuah motosikal merempuh sebuah kereta model BMW berwarna putih hari ini.

Menurut laporan mStar Online, motosikal itu ditunggang seorang lelaki bersama kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya sebelum dilihat hilang kawalan sekali gus menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan raya.

Rakaman tersebut dimuat naik seorang pengguna laman Facebook, Zoul BraveSlick dengan menyatakan kejadian itu berlaku berdekatan Endah Parade di Sri Petaling berdekatan susur ke Bukit Jalil.

“Kejadian depan mata hari ni, Allahuakbar. Sedih dan kesian kat budak tu. “Kepada yang bawa anak naik motor tu, hati-hati la ya,” tulis Zoul.

Menerusi rakaman berdurasi 22 saat itu juga, kanak-kanak tersebut seperti tidak dipakaikan topi keledar selain pemandu kereta BMW dilihat bergegas keluar bagi menyelamatkan si kecil terbabit.

Bagaimanapun, difahamkan kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat menerusi sekeping gambar dikongsi sendiri oleh Zoul di ruangan komen.

“Alhamdulillah, rider dengan anak selamat. Cuma anak dia ada macam trauma sikit. Rider cedera luka dan mungkin terseliuh dengan effect pada pinggang.
“Saya ada di tempat kejadian, anak dia berdarah dekat mulut. Dahi dan hidung terseret,” kata beberapa individu dipercayai saksi di lokasi kejadian.

Berdasarkan pemerhatian, ramai netizen mempercayai bahawa si bapa mengalami sindrom tertidur tanpa sedar (microsleep) kerana lampu ‘signal’ menunjuk ke arah kiri tetapi motosikalnya membelok ke kanan.