Tular video OKT dibelasah dalam tahanan

Tular video OKT dibelasah dalam tahanan

 

Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung sebuah video tular berkaitan seorang lelaki didakwa dipukul ketika dalam tahanan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Klang Selatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya terkesan dengan video itu, kira-kira pukul 8 pagi tadi yang tular di aplikasi Telegram Edisi Siasat.

Jelas beliau, semakan lanjut mendapati kejadian itu berlaku di BSJND tersebut, kira-kira pukul 10.30 pagi, 2 Ogos 2022.

“Ia bersabit satu laporan tangkapan polis pada pukul 12.50 malam hari sama dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“OKT (Orang Kena Tahan) itu telah dituduh di Mahkamah Klang pada 8 Ogos di bawah seksyen tersebut,” katanya hari ini.

Menurut Hoong Fong, siasatan lanjut mengenai video itu akan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

“Polis memandang serius kejadian itu dan siasatan dijalankan ke atas aduan salahlaku yang dipaparkan dalam video tular tersebut.

“Kita tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai kanan atau anggota polis yang didapati melanggar peraturan ditetapkan,” ujarnya.

Tambah beliau, polis turut memberi jaminan akan menyiasat secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Justeru, semua pihak diminta bekerjasama tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan,” katanya.