Tular video orang ramai berebut-rebut tadah air tercemar disangka susu

Tular video orang ramai berebut-rebut tadah air tercemar disangka susu

 

Sebuah video tular di media sosial India menunjukkan situasi penduduk bandar Bilari, negeri Uttar Pradesh berebut-rebut menadah air paip berwarna putih kerana menyangka ia adalah susu, lapor portal berita Okezone semalam.

Dalam video yang dikongsikan di Instagram itu, penduduk dilihat berlumba-lumba mengumpul air yang keluar daripada  paip tersebut, malah ada yang meminumnya.

Kawasan paip air tersebut dipenuhi orang ramai yang membawa botol minuman serta plastik untuk diisi dengan air.

Namun, pihak berkuasa kemudian tampil menjelaskan bahawa air tersebut bukan susu, sebaliknya air tercemar.

Jelasnya, air menjadi putih selepas pam air tercemar akibat kerosakan, yang menyebabkan berlakunya perubahan warna.

Bagi mengatasi keadaan itu, sebuah syarikat air tempatan telah diarahkan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap paip tersebut.

“Bekalan air hanya akan disambung semula selepas penilaian semula yang diperlukan telah dijalankan,” kata majistret sub-bahagian Bilari.