Tun M disahkan dimasukkan ke CCU
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan berada di Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara pada Sabtu.
Menurut Sinar Harian, perkara tersebut dimaklumkan oleh jurucakap bekas perdana menteri itu.
“Ya, beliau berada di CCU,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang timbul berhubung Ahli Parlimen Langkawi itu.
Pengamal media masih menanti di perkarangan IJN sejak jam 1 petang tadi.
Sebelum ini, IJN memaklumkan satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat berhubung keadaan Dr Mahathir.
Pada 13 januari, Dr Mahathir dibenarkan pulang ke rumah selepas beberapa hari menerima rawatan di IJN pada jam 3.45 petang Khamis.
Pada 7 Januari lalu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sekali lagi dimasukkan ke IJN hanya 16 hari selepas keluar daripada pusat perubatan itu pada Disember.