Tun M mengaku menyesal sertai himpunan MP pembangkang

Tun M mengaku menyesal sertai himpunan MP pembangkang

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak sepatutnya berada bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mengadakan protes setelah tidak dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen pada Isnin.

Beliau menjelaskan, pada asalnya beliau hanya hadir dan berniat untuk memberi sokongan dari dalam kenderaan sahaja bagi mengelakkan berada dekat dengan orang lain.

“Namun apabila tiba, saya lihat orang berkumpul dan beri syarahan, saya pun sertai dan saya duduk dekat dengan orang. Mujur saya buat ujian (saringan Covid-19) hari ini keputusannya negatif.

“Itu (menyertai protes di Dataran Merdeka) sepatutnya saya tidak lakukan. Himpunan seperti itu tidak harus diadakan.

“Jika kita nak jumpa pun di skrin sahaja (on zoom). Kalau nak protes pun kena zoom (sahaja) supaya tidak dekat dengan orang,” katanya pada forum bertajuk MPN: Solusi Selamatkan Malaysia di Facebook Reset Malaysia pada Selasa.

Ahli Parlimen Langkawi itu pada Isnin menjadi tumpuan apabila kembali ‘sepentas’ bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahli parlimen pembangkang mengadakan protes di Dataran Merdeka.

Ia bagi menyuarakan bantahan terhadap keputusan kerajaan menangguhkan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung Isnin kerana wujud risiko penularan jangkitan Covid-19.

Kumpulan itu bertindak berarak daripada Dataran Merdeka untuk menuju ke bangunan Parlimen bagaimanapun gagal setelah dihalang oleh sekatan pihak polis dan akhirnya kesemua yang hadir bersurai secara aman.

Sumber – Sinar Harian