Tun M sinis Anwar, tak dapat juga jadi PM walaupun ketepikan kumpulannya

Tun M sinis Anwar, tak dapat juga jadi PM walaupun ketepikan kumpulannya

Dr Mahathir Mohamad berkata, Presiden PKR, Anwar Ibrahim masih gagal menjawat tugas sebagai perdana menteri walaupun sebelum ini mendakwa mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Bekas perdana menteri itu berkata, rakyat tahu selepas Anwar bertindak mengetepikan beliau dan kumpulannya untuk terlibat sama dalam usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran negara pimpinan Muhyiddin Yassin masih bertahan di Dewan Rakyat.

“Apa yang berlaku ialah Muhyiddin masih dapat 112 (sokongan ahli Parlimen) dan tidak dapat dijatuhkan semasa perbahasan berkenaan perlucutan jawatan.

“Ini bermakna Muhyiddin menang dan kekal sebagai perdana menteri.

“Anwar kalah dan tidak jadi perdana menteri. Saya dan kumpulan saya ditolak Anwar kerana dia sudah dapat jumlah sokongan mencukupi.

“Tetapi kita semua tahu Anwar masih tidak dapat jadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada September, Anwar mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, “yang majoritinya merupakan wakil rakyat Melayu dan Islam”.

Istana Negara bagaimanapun berkata, Anwar sekadar mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau, tanpa mengemukakan senarai nama bagi mengukuhkan dakwaan itu.

Mahathir berkata, beliau sendiri menyokong usaha Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan Muhyiddin, namun gabungan yang diketuai Anwar itu enggan menerima penyertaan beliau.

“Usaha untuk tumbangkan kerajaan PN diteruskan PH. Pihak saya dan penyokong bersetuju untuk menyertai usaha ini. Tetapi Anwar tolak sama sekali penyertaan saya.

“Jika saya ditolak, penyokong saya tidak akan menyertai cadangan ini,” katanya.

Bahkan katanya, Anwar turut menolak cadangan Amanah dan DAP, yang mahukan beliau kembali menjawat tugas sebagai perdana menteri untuk tempoh 6 bulan sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

“Tetapi Anwar tolak. Anwar tidak mahu saya terlibat sama sekali. Pengakuan saya untuk serah jawatan kepada Anwar selepas 6 bulan tidak diterima atau dipercayai,” katanya.

Sumber: Free Malaysia Today