Tun M tak setuju Anwar beri banyak bantuan kepada rakyat

Tun M tak setuju Anwar beri banyak bantuan kepada rakyat

 

Tun Dr Mahathir tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi banyak bantuan kepada rakyat.

Penasihat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) itu turut menyamakan Anwar dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa, Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun mempunyai sifat kepimpinan yang serupa dengan Bapa Transformasi itu.

Hal ini berikutan, Anwar telah mengambil keputusan untuk mengeluarkan belanja yang banyak hanya untuk memberi bantuan.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan 2023 dengan peruntukan sebanyak RM388.1 bilion.

Peruntukan tersebut lebih tinggi berbanding belanjawan yang diumumkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Belanjawan pertama yang dibentangkan Kerajaan Perpaduan itu juga merupakan belanjawan terbesar negara setakat ini.

“Mana hendak dia cari duit itu? Kutipan cukai meningkat tetapi tidak cukup untuk belanja tambahan.

“Anwar ini macam Najib juga, bagi duit sana, bagi duit sini. Tapi duit itu datang dari mana? Itulah bebanan hutang yang kita kena tanggung,” katanya.

Mahathir berkata demikian semalam bagi mengulas lanjut pembentangan Belanjawan 2023 sejurus selesai mesyuarat PUTRA.