Tupai kini digunakan pihak polis mengesan dadah

Tupai kini digunakan pihak polis mengesan dadah

 

Tupai kini dilaporkan telah mula digunakan oleh pihak polis sebagai salah satu usaha terbaharu dalam memerangi dadah secara habis-habisan.

Inisiatif pelik tersebut dilaporkan telah digunakan oleh pihak polis di daerah Chongqing, barat daya China yang mula menggunakan tupai khas yang terlatih untuk mengesan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di bandar itu.

Difahamkan, Unit Anjing Pengesan dari Polis Biro Keselamatan Awam Hechuan, Chongqing dilaporkan telah berjaya membiakkan kumpulan tupai pengesan dadah yang pertama di China.

Ia sebenarnya merupakan salah satu projek penyelidikan dan pembangunan utama China yang antara lain berusaha mencipta kaedah latihan baharu untuk haiwan pengesan dadah.

Penggunaan tupai adalah digalakkan untuk mencari bahan terlarang dalam persekitaran yang rumit seperti gudang atau stesen penghantaran.

Menurut laporan, saintis juga sebenarnya sudah lama menyedari kehebatan deria bau tupai namun kaedah melatih haiwan itu ternyata tidak cukup maju lagi sehingga kini.

Media tempatan melaporkan, Unit Anjing Pengesan tersebut telah melatih enam ekor tupai yang akan bekerjasama untuk membantu mengesan dadah yang tersembunyi.

Unit tersebut dikatakan telah berjaya melatih tupai berkenaan dengan menggunakan teknologi dan kaedah latihan yang dibangunan secara dalaman.

Tupai-tupai itu dilatih untuk `membuat tanda’ di tempat haiwan tersebut mengesan terdapat dadah yang disimpan atau disembunyikan.

Selain itu juga tupai mempunyai kelebihan tambahan berbanding anjing pengesan iaitu saiz yang kecil, lebih pantas dan berupaya untuk mencari di tempat tinggi.

Ujian menunjukkan bahawa tupai juga cekap seperti anjing pengesan dalam mengenal pasti dadah dan bakatnya itu dapat digunakan sebaiknya untuk membantu pihak polis.