Turunkan harga ayam, bukan edar ayam golek guna peruntukan YADIM

Turunkan harga ayam, bukan edar ayam golek guna peruntukan YADIM

Prihatin dengan kepayahan segelintir masyarakat yang tidak mampu menyediakan hidangan lazat sebagai juadah berbuka puasa, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Terengganu mengagihkan 250 ekor ayam golek kepada asnaf di negeri ini.

Pengarah Yadim Terengganu, Nasrul Hadi Saidin berkata, sumbangan ayam golek yang merupakan makanan popular setiap kali Ramadan itu disampaikan melalui Program Musa’adah Juadah anjuran yayasan itu bersama agensi lain.

Menurutnya, seramai 250 keluarga asnaf terpilih dari Setiu, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun mendapat manfaat daripada program itu.

“Program ini adalah sebagai tanda prihatin Yadim kepada masyarakat terutama asnaf sekali gus memberi kegembiraan kepada mereka ketika berbuka puasa.

“Kita gembira apabila melihat wajah ceria mereka ketika menerima sumbangan lauk untuk berbuka puasa ini dan program ini akan diteruskan di kawasan lain pula,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Nasrul Hadi berkata, sumbangan itu dihantar terus ke rumah asnaf oleh 50 sukarelawan Yadim Terengganu yang bertugas sepanjang Ramadan.

Katanya, selain ayam golek pihaknya turut menyumbang barang keperluan harian seperti beras, minyak, gula dan tepung kepada ibu tunggal dan mereka yang kurang berkemampuan melalui program Musa’adah Asnaf.

Beliau berkata, Program Musa’adah Juadah dan Musa’adah Asnaf merupakan sebahagian pengisian Ihya Ramadan Sebulan Yadim (Irsyad 360) yang dilancarkan pada 19 April lalu.

“Kita sasarkan sebanyak 30 program dilaksanakan di tujuh daerah Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kemaman dan Dungun,” katanya. – SH